Tuesday, January 10, 2012

Pelancaran Buku Bidang Perubatan

Tanggal 5 Januari 2012 boleh dikatakan tanggal yang masih terlalu muda lagi bagi tahun 2012 ini. Setiap individu sedang bersemangat dan rancak untuk memulakan segala apa yang ingin dilakukan mengikut azam baru yang ditanamkan dalam diri masing-masing, sama ada secara tersirat atau tersurat.

Nah ... bagi para penulis dalam bidang perubatan dari Kampus Perubatan dan Kesihatan HUSM Kubang Kerian, aku yakin tanggal ini memberi makna yang besar kepada mereka sempena pelancaran judul-judul buku mereka yang telah berjaya diterbitkan oleh DBP, berkat usaha bersama penulis dengan editor.

Aku tidak terkecuali menumpang kejayaan para penulis buku tersebut (yang telah menjadi sahabatku), kerana pada peringkat awalnya aku memang banyak terlibat dengan pegurusannya, dan terpaksa ditinggalkan untuk diuruskan oleh rakan-rakan editor setelah aku terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang.

Sejumlah 12 judul telah dilancarkan pada hari tersebut, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP). Pihak DBP telah menerbitkan  katalog buku-buku tersebut, bersama-sama biodata penulisnya, dan telah disebarkan kepada para jemputan dan penulis sendiri pada hari pelancaran. 

Katalog buku yang dilancarkan

Dalam katalog, dinyatakan biodata penulis dan sinopsis buku

Secara peribadi, ini ialah kali pertama aku menjejakkan kaki ke DTSP walaupun telah beberapa kali juga aku ke USM Pulau Pinang sebelum ni. Semasa sampai, ku lihat pihak DBP dan USM ada membuka gerai jualan buku. Kami berlegar-legar sebentar di luar sebelum majlis. 

Kami berlegar-legar dahulu sebelum majlis bermula

Sebenarnya, aku agak kekok juga menghadiri majlis ini kerana tidak terlibat secara langsung dengan persediaannya. Sebab itulah, pada awalnya aku nak datang secara senyap-senyap jer. Aku dijemput sebagai tanda penghargaan atas 'air tanganku' terhadap pengurusan buku tersebut pada peringkat awalnya (agaknyalah ...) Biasanya, aku jadi 'orang pangkal atau orang penangah' bagi majlis sebegini, bersama-sama pembantuku, tapi kali ni jadi tetamu pulak ... Alamak, janggalnya rasa. Kami dari DBP diberi tempat duduk baris hadapan bersebelahan dengan barisan para penulis. 

Penulis buku yang dilancarkan berada di barisan depan
Pihak DBP juga diberikan tempat di barisan depan

Sambil menunggu majlis bermula, aku sempat merakamkan pentas Dewan, tempat pelancaran  diadakan ...

Bahagian depan pentas
Sebelah kiri pentas, terdapat rostrum tempat tetamu khas menyampaikan ucapan
Sebelah kanan pentas, terdapat rostrum untuk pengacara majlis

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi, dengan ketibaan tetamu kenamaan dan TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bersama-sama isteri beliau, YAB Toh Puan Hajah Majimor Shariff.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Menara Ilmu, diikuti dengan persembahan video Transformasi USM. Kemudian Naib Canselor USM, Prof. Dato' Dr. Omar Osman, menyampaikan perutusan tahunan (BUKU 2012).

Naib Canselor USM sedang menyampaikan ucapan

Selesai perutusan, barulah dimulakan upacara penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, dan pelancaran buku. Upacara dimulai dengan ucapan wakil penulis dan Ketua Pengarah DBP, diikuti dengan penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, penandatanganan plak oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan tayangan video buku-buku yang dilancarkan.

Wakil penulis sedang menyampaikan ucapan

Dalam ucapan oleh wakil penulis, Prof. Shaiful Bahari Ismail, aku amat tertarik dengan persembahan beliau tentang sinopsis buku-buku yang dilancarkan itu. Untuk dikongsi bersama sinopsis yang disampaikan dalam bentuk yang agak puitis nukilan beliau bersama-sama Dr. Mohd Ismail Ibrahim, beginilah bunyinya ... (in rhyme - ada rima) ...

"Sudah menjadi lumrah kehidupan, 
kehadiran cahaya mata merupakan saat yang paling dinantikan oleh pasangan. 

...  Namun tidak semua berpeluang menikmatinya ... 

INFERTILITI bukan lagi satu mitos dan masalah yang tersendiri, 
tetapi ia perlu difahami. 

PERMASALAHAN SINDROM OVARI POLISISTIK memungkinkan infertiliti terjadi, 
namun dengan RAWATAN MELALUI TEKNIK BANTUAN REPRODUKTIF harapan mungkin menjadi realiti. 

... Dengan penyelesaian masalah INFERTILITI ... 


Segala yang gundah menjadi indah 
dan sinar harapan akan muncul di SEBALIK SERIBU IMPIAN.

      Infertiliti diatasi, 
anak yang dikandung perlu dijaga dengan rapi. 
Pelbagai nasihat perlu dituruti, 
UBAT dan KEHAMILAN perlu diketahui dan difahami,
 agar anak dan ibu sihat sepanjang hari.

Lahirlah zuriat dengan sempurna sifat, 
SUSU IBU santapan penuh khasiat. 
Ia merupakan titisan mutiara asli daripada bonda, 
buat anakanda tercinta. 

Jika minda masih tak keruan, 
bacalah 100 PERSOALAN MENGENAI PENYUSUAN .

Anak membesar menjadi remaja, 
pelbagai dugaan dan ujian datang melanda, 
dari perubahan fizikal, mental dan sosial, dia bergerak menjadi dewasa. 
Namun jangan leka, 
tersilap langkah buruk padahnya. 

…. GADISKU BACALAH
fahamilah perubahan dirimu, 
jangan mudah terjerat dengan cintamu 
yang mungkin boleh menghancurkanmu. 

Permainan komputer, facebook dan twitter ada baik ada buruknya, 
dengar nasihat ibu dan bapa….
jika  ikut petua boleh mengelak PENYAKIT BAWAAN KOMPUTER.

 Dalam meniti usia dewasa, 
kemalangan boleh terjadi tanpa diduga, 
kecederaan anggota perlu dirawat dengan segera, 
TRAUMA adalah perkara biasa,  
jika difahami mengurangkan derita. 

Di usia dewasa, saringan kesihatan amatlah penting, 
PENGESANAN AWAL PENYAKIT menjadi genting, 
agar badan menjadi benteng. 

KANSER PAYUDARA tidak boleh dilupa, 
pembunuh nombor satu wanita di negara kita, 
pengetahuan mengenainya perlu disegera 
agar ia tidak menjadi teman pengakhir nyawa.

Bila usia semakin senja, 
pelbagai penyakit datang dengan tiba-tiba. 
KESIHATAN WANITA  di USIA EMAS
perlu sentiasa diselami dan diperkemas. 
Kaum lelaki juga perlu mengetahui dan mengambil berat, 
agar keluarga, masyarakat dan negara berjaya dimartabat."

Selesai ucapan wakil penulis, sampailah masanya Ketua Pengarah DBP,  YBhg. Dato' Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, pula menyampaikan ucapan. Ini diikuti dengan penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, yang disaksikan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ketua Pengarah DBP sedang menyampaikan ucapan

Selesai ucapan Ketua Pengarah DBP, barulah pelancaran buku dilaksanakan, diikuti dengan penandatanganan plak oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, tayangan multimedia (berkenaan dengan buku yang dilancarkan), dan penyampaian cenderamata kepada penulis (naskhah percuma buku karya penulis).

Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, selaku penyelaras di HUSM, menerima cenderamata
Tetamu kehormat yang berada di pentas semasa majlis berlangsung

Semasa tayangan video, aku tidak dapat menahan air mata daripada menitis, melihat buku-buku yang telah diterbitkan oleh para penulis, yang terdiri daripada staf HUSM Kubang Kerian - jururawat, doktor dan doktor pakar. Aku mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa buku-buku ini akan dicari oleh pembaca untuk mendapatkan maklumat yang berguna untuk mereka, apa lagi penulisan dan persembahannya tidak bersifat teknikal kerana buku-buku tersebut ditujukan khas untuk pembaca umum.

Selepas itu pihak USM menyampaikan cek kepada Penerbit USM, dikuti dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita. Dengan itu, majlis pun tamat dan tetamu bersurai untuk menikmati jamuan yang disediakan.

Tetamu kehormat turun dari pentas
Tetamu bersurai untuk menikmati jamuan yang disediakan
Penulis juga bersurai

Sebelum bersurai, para penulis bergambar dengan editor. Aku tidak memiliki gambar itu untuk diabadikan dalam blog ini. Gambar-gambar semasa penandatanganan MoU juga tidak dapat aku snap sebab ramai jurufoto yang berkerumun di hadapan pentas. Aku nak menyelit pun malu kerana aku guna kamera telefon bimbit jer. I snapped all the photos using my humble handphone's camera!!! Hahaha ... malu you ... Gambar para penulis mengambil cenderamata mereka pula kabur, kecuali gambar Dr. Nik.

Aku juga tidak bergambar dengan para penulis dan kurang beramah mesra dengan mereka. Mungkin aku terlalu lara semasa majlis berlangsung. Kenapa lara sangat?? Sebab rasanya inilah majlis rasmi terakhir yang akan ku hadiri sepanjang karierku, terutamanya sebagai editor perolehan. Terima kasih bos kerana menjemputku secara rasmi. Jika tidak dijemput pun aku akan menghadirinya secara senyap-senyap, asalkan aku dapat melihat para penulisku naik ke pentas dan lepaslah rinduku kepada mereka semua. Aku dapat merasakan corak kehidupanku selepas ni agak berbeza, wallahualam ...

Aku hanya dapat snap gambar penulis "Kanser Payudara: Teman ke Akhir Hayat", dengan suami beliau. Itupun sebab kami tak pergi menikmati jamuan yang disediakan. Kami sama-sama menunggu suamiku datang fetch kami ...  Harapanku agar hubungan silaturrahimku dengan para penulis tidak terputus. Harap aku juga sentiasa dapat membantu mereka walaupun di belakang tabir nanti ... Wallahualam juga ...

Penulis buku "Kanser Payudara", Prof. Madya Dr. Hasanah Che Ismail dengan suami beliau, En. Shuib Puteh

... SALAH SATU KENANGAN MANIS YANG AKAN SENTIASA TERPAHAT DI HATIKU ... 

2 comments:

  1. Asiah,

    Anda bukan seorang menitiskan air mata semasa video itu di mainkan, Shuib pun.

    Saya masa tu terasa tidak ada perasaan, entah kenapa, mungkin teringatkan isi buku, mungkin bengong lepas mengantuk, mungkin terasa tengelam di dalam "main event"....

    Apa-apapun Alhamdullilah dan terima kasih tak terhingga kepada Asiah dan saya Puan Suzana, serta DBP keseluruhannya...

    Buku saya sudah mendapat jualan melalui blog...Alhamdullilah ilmu kian tersebar, moga pesakit kanser mendapat manfaatnya.

    ReplyDelete
  2. Dr. H, Alhamdulillah ... itulah yang kita nakkan, berkongsi dan menyebarkan ilmu ...

    ReplyDelete