Sunday, February 19, 2012

Perginya Mak Lang Menyahut Seruan Illahi

Beberapa minggu selepas aku menjalani kemo yang terakhir, salah seorang anak ibu saudaraku (kami panggil Mak Lang) telah menelefon nak datang ke rumahku, tapi masa tu aku dan keluarga berada di Terengganu, maka tak sampailah hajatnya. Beberapa minggu selepas tu, kira-kira akhir bulan Disember, anak Mak Lang menelefon lagi nak datang ke rumahku. Alhamdulillah, aku tidak ke mana-mana, kerana Abah berada di laut.

Pagi-pagi lagi aku dah sedia masak nasi ayam untuk menjamu Mak Lang dan anaknya yang akan datang. Belum sempat masak Mak Lang dah sampai, maka anak-anak ambil alih memasak. Tujuan Mak Lang datang ialah nak menziarahiku dan membawa buah herba yang boleh dijadikan ubat penyakitku. Menurut anaknya, Mak Lang nak sangat jumpaku - sampai menangis! Mak Lang nampak teruja sangat dapat berjumpaku dan memberikan buah herba ubat tu. Aku bersembang dengan Mak Lang sementara menunggu anak-anak selesai masak. Bila dah siap masak, kami pun makan beramai-ramai. 

Lepas makan, aku berborak lagi dengan Mak Lang. Pelbagai cerita yang timbul dan Mak Lang pulak tak berhenti-henti berborak - ada saja perkara yang nak dicakapkannya (sampai anak dan 2 orang cucunya tertidur menunggu kami borak). Mak Lang kelihatan sihat, walaupun umur dah lanjut. Sambil berborak hatiku memang rasa lain macam dan berkata ... agak-agak siapalah yang 'pergi' dulu - sama ada aku yang menghidap penyakit ni, atau Mak Lang yang sudah lanjut umur tu. Melihat Mak Lang borak bersemangat tu terlintas juga di hatiku, adakah ini kali terakhir kami bersua???

Lepas zohor Mak Lang dah nak balik dah, katanya nak pergi ke rumah salah seorang anaknya di Nilai. Memang hatiku rasa semacam melepaskan Mak Lang. Aku peluk dan cium dia dengan janji aku dan keluarga akan berkunjung ke rumahnya di Johor. 

Bila suami balik dari platform, aku menyuarakan hasrat hati nak pergi ke rumah Mak Lang, tapi ada sahaja halangannya. Aku mengambil keputusan untuk pergi selepas buah yang diberinya habis, dan ambil lagi buah itu di rumahnya. Walau bagaimanapun, kelmarin aku terkedu mendengar berita daripada kakak bahawa Mak Lang nazak! Dan ... menunggu berita sahajalah. Dalam solat aku memohon kepada Allah agar dipermudahkan Mak Lang.

Pagi semalam, selepas aku selesai masak, aku menerima SMS daripada kakak mengatakan Mak Lang telah kembali ke rahmatullah. Kemudian, anak Mak Lang pula telefon, diikuti oleh adik sepupu memberitahu hal yang sama. Daripada Allah beliau datang, kepada Allah jualah beliau kembali. Dalam solat Dhuha, aku memanjatkan doa agar Allah menempatkan rohnya bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan masuk Syurga ... Itu sahaja yang dapat kulakukan.

Aku teringin sekali nak pergi menatap wajahnya buat kali terakhir, tapi suami tak ada dan aku pun kurang sihat jua. Tak dapat nak ziarahnya semasa hayat, sekurang-kurang ziarah buat kali terakhir pun tak mengapa. Aku berharap dapat pergi menumpang kakak dan suaminya, tapi abang ipar pun demam! Bila aku menelefon sepupu, rupa-rupanya dia dan suami masih tersangkut dengan kesesakan lalu lintas, dan tidak keberatan nak mengambilku jika aku nak pergi sekali. Alhamdulillah ... aku bersyukur kerana Allah telah mengizinkan aku dapat juga pergi.

Pukul 1.00 tengah hari baru sepupuku sampai dan kami pun bertolak. Kami dimaklumkan pengebumian adalah selepas waktu Asar. Kami semua berasa lega kerana pasti dapat menatap wajah Mak Lang buat kali terakhir, dan menghadiahkan surah Al-Fatihah dan Yassin. Kami sampai kira-kira pukul 3.00 petang dan hujan pun rintik-rintik. Semasa kami sampai arwah Mak Lang sedang disolatkan, dan terus dibawa ke kubur. Memang tak ada rezekiku nak menemui Mak Lang lagi hingga ke akhir hayatnya. Walau bagaimanapun, aku berpuas hati dapat juga menjejakkan kaki ke rumah Mak Lang, dan sempat melihat jasadnya diangkat ke perkuburan. Dalam hati, sentiasa mendoakanya. Menurut mereka yang disana, semasa mereka menguruskan Mak Lang hujan lebat sangat - insyaallah, harap-harap hujan rahmat untuk Mak Lang.

Selepas mereka balik dari pengebumian barulah kami nak gerak balik ke KL semula. Sebelum tu, sempat juga aku mengambil buah herba dan anak pokok herba lain 'tinggalan tangan' Mak Lang untuk kutanam di rumah. Anak Mak Lang menyuruh aku menanamnya untuk kuambil sebagai ubat dan meneruskan 'hasil tangan' peninggalannya ... sungguh haru. Aku menyatakan kesal hatiku kepada anak Mak Lang kerana tak dapat bertandang ke rumah beliau untuk bertemunya selepas beliau menziarahiku dulu. Anak Mak Lang cakap aku tak ada rezeki bertemu beliau tetapi dapat rezeki 'hasil tangan' beliau, Alhamdulillah. 

Dalam masa terdekat ini, dah dua kematian aku terlepas untuk bertemu mereka semasa hayat mereka ... Lain kali aku mesti ingat bahawa jika dah terlintas di hati nak berziarah dan berjumpa seseorang tu, teruskan sahaja hasrat tu supaya tidak jadi begini lagi ... Semuanya atas kehendak dan izin Allah jua ...

Ya Allah, kau tempatkanlah roh kedua ibu bapaku, abang-abangku, Mak Lang dan saudara-maraku serta para muslimin dan muslimat bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan orang-orang yang masuk syurga. Lindungilah mereka semua daripada fitnah bida'ah, azab seksa dan panas dahaga di alam kubur, alam barzakh dan hari akhirat. Mudahkanlah perjalanan mereka di alam kubur, alam barzakh dan di hari akhirat. Berikanlah mereka syafa'at junjungan kami Nabi Muhamad SAW di hari akhirat. Mudahkan hitungan mereka di padang Masyar. Mudahkan mereka untuk melintasi Siratulmustaqim, dan berilah mereka tempat disyurga Firdaus-Mu. Amin Ya Rabbal'Alamin   

Sunday, February 12, 2012

I cried after watching this video

Video ini penting sebagai peringatan kepada semua yang bergelar anak ...
(Sila hentikan muzik blog dahulu)
                      
... Termasuklah diriku dan suami, kerana suami masih mempunyai ibu dan ayah, dan aku masih mempunyai ibu dan ayah mertua. 

Menjaga orang tua memang memerlukan banyak kesabaran. Apabila dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang, insyaallah ... ia akan memberikan keberkatan dalam hidup kita. Dan ... yang paling penting, ia akan menjadi kenangan yang sangat berharga dan terindah dalam hidup kita hingga ke akhir hayat, setelah mereka meninggalkan kita.

Dengan kenangan itu jua, kita tidak akan pernah lupa mendoakan ibu bapa yang telah pergi sepanjang hayat kita. Memang itu jugalah caranya untuk kita dapat berbakti kepada ibu bapa yang telah pergi ... Amat rugilah anak-anak yang tidak menjaga atau yang telah membelakangkan ibu bapa mereka semasa hayat mereka, kerana setelah ibu bapa pergi, tiada seorang pun insan di dalam dunia yang dapat menggantikan mereka ... dan anak-anak tiada kenangan manis yang abadi menjaga ibu bapa untuk diingat-ingat sepanjang hayat.

Sama-samalah kita mendoakan dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada ibu bapa kita, sama ada yang masih hidup atau yang telah pergi ...

 ... Al-Fatihah ...