Thursday, January 26, 2012

Tahun Baru Cina, Kenduri Kahwin

Tahun Baru Cina pada tahun ni, aku dimaklumkan cuti umum yang panjang juga. Aku sendiri tak tahu ...  Yang aku tahu, bunyi mercun sana sini, ada macam bunyi meriam dan macam bunyi machine gun. Memang meriah, cuma bila mereka membakar mercun pada tengah malam itu, very annoying! Mungkin pada mereka yang tiada apa-apa, itu merupakan satu pesta kegembiraan yang mesti diraikan. Tapi, bagaimana pula pada mereka yang terdapat baby atau orang sakit di dalam rumah mereka? Fikir-fikirkanlah ... Tradisi tetap tradisi, tetapi kalau dah kena hidung sendiri???

Sejak dua menjak cuti sakit yang panjang ni, aku memang lost track hari cuti, tarikh dan hari. Tak mengapalah ... Apa yang penting ialah masa cuti panjang Tahun Baru Cina ni ramai yang bercuti balik kampung, jalan-jalan dan banyak yang mengadakan majlis kenduri, terutamanya kenduri kahwin. 

Bagi aku dan keluarga, kalau abah ada mungkin kami pergi bercuti juga bersama-sama adik-adik dan anak sedara ke Mersing. Mereka dah lama merancang dan dah pun booking tempat untuk aku sekeluarga juga. Abah cakap kalau aku anak-beranak nak pergi, tak mengapa. Akan tetapi, bila tanya anak-anak semua tak nak pergi sebab abah tak ada ... tak enjoy kata mereka dan akan miss abah. Tapi, Zafhri pergi jugak dengan Anep bersama-sama mereka satu malam sebab nak ambik atap nipah yang abah tempahkan untuk kegunaan dia.

Aku dan anak-anak dara yang tinggal duduk rumah aje. Dah tak pergi ke mana-mana, kami pergilah menghadiri dua majlis kenduri kahwin, iaitu pada hari Ahad (22 Jan 2012) dan hari Isnin (23 Jan 2012). Pada hari Ahad tu kebetulan ada dua kenduri, majlis perkahwinan anak seorang sahabat yang telah bersara dan satu lagi ialah majlis perkahwinan abang kepada kawan Zafhri (yang telah aku anggap sebagai anak) di Semenyih. 

Aku tak sempat nak pergi kenduri kawanku itu. Kami menghadiri kenduri di Semenyih saja. Hari tu panas dan bila sampai sungguh ramai tetamu, kerana kebetulan pengantin sedang bersanding. Kami memang dah simpan perut untuk makan kenduri. Bila sampai dan dah jumpa ayah ibu pengantin, apa lagi ... terus menjamu seleralah. Aku makan juga daging!!! Huih ... langgar pantang!!! Memang kalah betul aku dengan daging ni. Harap-harap tidak memudaratkan. Aku sempat ambil gambar pengantin, tapi di sini aku tertarik sangat dengan kek pengantin tu ... 
Huh, 5 tingkat dan mesti sedap tu ...
Pada hari Isnin pula, aku dan anak-anak menghadiri majlis perkahwinan kawan Zafhri pula, yang telah ku anggap sebagai anak juga. Majlis diadakan di sebuah dewan di UPM. Wah, meriah juga dan ramai tetamu jemputan. Lauknya pulak lauk-lauk kegemaranku ... haaa, nasib baik tak ada daging. Antara lauknya ialah nenas masak lemak cili padi ikan masin dan tempoyak masak sayur. Sedapnya ...  Kami sempat juga melihat pengantin bersanding. Pelaminnya amat cantik dan sweet sekali ...
Cantik dan sweet pelaminnya kan ... pastel
Semoga pasangan-pasangan tersebut dirahmati Allah dan hidup bahagia suami isteri hingga ke akhir hayat, dan dianugerahi putera puteri yang solah dan solehah.

Ucapan yang sama juga ku panjangkan kepada sahabatku, Shimah, yang meraikan majlis perkahwinan anak sedara dan adiknya di Kota Bharu, Kelantan. Semoga pasangan tersebut juga sentiasa dirahmati Allah dan hidup bahagia hingga ke akhir hayat, dan dianugerahi putera puteri yang solih dan solihah, amin ...

Wednesday, January 18, 2012

Suka, Sedih, Suka ...

Pada hari Ahad (15 Jan 2012) hari tu, kami sekeluarga excited nak pergi zoo dengan adik-beradik, anak sedara dan mak (dari kampung). Kami dah lama bercadang nak ke zoo, sebab dah lama sangat kami tak ke sana (last sekali kami ke sana masa anak-anak masih kecil lagi, dan sekarang mereka semua dah dewasa!). Pagi-pagi, lagi aku dan suami dah siap goreng ayam berempah untuk dibawa. Main dish disediakan oleh Umi (isteri adik ipar),  iaitu nasi lemak. Bila mak dah sampai dengan 2 orang anak sedara dari kampung, kami pun gerak. 

Sampai di zoo, terus beli tiket. Wow ... sekarang tiket dah RM20.00 seorang. Kalau nak masuk ke Taman Rama-rama, kena tambah RM5.00 lagi. Kami beli tiket RM25.00 seorang, dan menunggu mereka (2 kereta lagi) belum sampai. Bila mereka dah sampai, kami semua pun masuk. Dah hari dah tengah hari, kami menjamu selera dulu, baru jalan-jalan dalam zoo. Seronok sangat, tapi kaki sakit dan lenguh jugalah berjalan jauh dalam zoo tu, tengok semua haiwan yang ada di situ. Dah petang baru balik. Singgah rumah Pak Pon dulu, pekena mi goreng.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku terima SMS daripada seorang sahabat mengatakan salah seorang sahabat kami yang menghidap kanser sedang berada di HUKM, tidak sedarkan diri. Sahabat berpesan supaya mendoakan sahabat yang sakit, agar dipermudahkan. Bila baca SMS tu, rasa tersentap hati ... mungkin sahabat tu sedang nazak. Ya Allah, terkedu aku dibuatnya ...

Dalam keadaan begitu, tiada apa yang boleh dilakukan selain daripada mendoakan beliau. Selepas solat Maghrib, aku buat solat hajat khas untuk beliau. Aku memanjatkan doa semoga beliau sembuh jika Allah mengizinkan beliau didizinkan-Nya dapat menikmati hidup di alam maya ini lagi. Jika tidak, aku mohon supaya Allah permudahkan beliau menghadapi sakaratulmaut. Doa itu tidak lekang, sehingga aku lena ...

Pada paginya (16 Jan. 2012), hatiku berdebar-debar mendengar bunyi mesej dari telefonku. Dan ... Allah menyayangi sahabat kami. Beliau telah kembali ke pangkuan Illahi pada pagi tu. "Daripada Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali". Semoga sahabat itu telah kembali dengan tenang dan Allah mengumpulkan rohnya bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan orang-orang yang masuk syurga. Semoga ahli keluarga beliau tabah menghadapi kehilangan ini ...

Pemergian sahabat ini sangat terkesan di hatiku, kerana beliau didiagnosis semasa aku menjalani pembedahan di HUSM Kota Bharu pada bulan Jan. 2011.  Apabila balik dari KB, aku dapat bercakap melalui telefon dengan beliau sekali, dan beliau kedengaran amat kuat semangat dan ceria. Kami sama-sama memberikan semangat antara satu sama lain. Semasa aku membuat CT scan di HUKM pula, aku sempat menemui beliau yang sedang menjalani kemo pada hari tu. Beliau nampak ceria dan bersemangat sekali. Selepas tu, aku sibuk ke HKL menjalani rawatan kemo dan radio, hingga selesai pada awal Dec. 2012. Hatiku sentiasa tertanya-tanya akan keadaan beliau, dengan harapan beliau beransur pulih dan sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.

Apabila selesai kemo, aku teringin sekali nak menziarahi dan menemui beliau. Aku cuba SMS rakan-rakan yang berada di HUKM, malah kepada beliau sendiri bertanyakan khabar. Aku tak berani nak menelefon, kalau-kalau menggangu pula. Malangnya, aku tidak mendapat sebarang jawapan. Dalam aku berkira-kira nak menelefon beliau atau rakan-rakan di HUKM lagi, aku mendapat berita pemergiannya. Memang tiada rezeki aku nak bertemu dengan beliau. Walau apapun, beliau tetap berada di dalam hatiku walaupun kami tidaklah berapa rapat sangat, tetapi aku memang menganggap beliau sebagai sahabatku apa lagi kami sekapal! Doaku semoga Allah sentiasa merahmati roh sahabatku Dr. Ruzana, dan menempatkan beliau pada kedudukan yang terbaik di sisi-Nya, aminnn ... Itu sahaja bantuan yang dapat diberikan.

Semalam pula, aku mendapat satu kejutan lagi ... kejutan yang gembira. Tanpa disangka-sangka semasa melayani FB, aku mendapat mesej daripada anak sedaraku yang sebelum ni belajar di US ingin datang menziarahiku. Anak sedaraku ini ialah anak sulung kepada abang sulungku yang telah meninggal lebih 10 tahun lalu kerana menghidap kanser paru-paru, hanya lebih kurang 3 bulan selepas belaiu didiagnosis. Ya Allah, rupanya beliau berada di Malaysia - winter break selama sebulan.

Betapa gembiranya hatiku apabila beliau sekeluarga datang ke rumah. Aku hanya sempat menjamu beliau dengan kuey teow goreng dan satay jer, tapi beliau anak-beranak nampak amat berselera sekali makan, Alhamdulillah. Habis licin semua ... Rasa tak cukup masa kami berborak pelbagai cerita  - pengalamanku menghadapi penyakit, pengalamannya di US dan isterinya yang tinggal bersama-sama anak. Nampak beliau happy sekali dapat bersama-sama keluarga, walaupun cuma sebulan, setelah setahun di luar negara. Beliau akan balik semula ke US pada hari Isnin sorang diri lagi. Isteri dan anak-anak hanya akan menyertai beliau dalam masa 4 atau 5 bulan lagi kerana isterinya terpaksa menyelesaikan kursus PhD-nya. Semoga Allah memberikan ketabahan kepada mereka semua, dan memudahkan urusan mereka ...

... Sama ada suka atau duka, semuanya berlaku atas kehendak dan izin Allah jua ...


Tuesday, January 10, 2012

Pelancaran Buku Bidang Perubatan

Tanggal 5 Januari 2012 boleh dikatakan tanggal yang masih terlalu muda lagi bagi tahun 2012 ini. Setiap individu sedang bersemangat dan rancak untuk memulakan segala apa yang ingin dilakukan mengikut azam baru yang ditanamkan dalam diri masing-masing, sama ada secara tersirat atau tersurat.

Nah ... bagi para penulis dalam bidang perubatan dari Kampus Perubatan dan Kesihatan HUSM Kubang Kerian, aku yakin tanggal ini memberi makna yang besar kepada mereka sempena pelancaran judul-judul buku mereka yang telah berjaya diterbitkan oleh DBP, berkat usaha bersama penulis dengan editor.

Aku tidak terkecuali menumpang kejayaan para penulis buku tersebut (yang telah menjadi sahabatku), kerana pada peringkat awalnya aku memang banyak terlibat dengan pegurusannya, dan terpaksa ditinggalkan untuk diuruskan oleh rakan-rakan editor setelah aku terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang.

Sejumlah 12 judul telah dilancarkan pada hari tersebut, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP). Pihak DBP telah menerbitkan  katalog buku-buku tersebut, bersama-sama biodata penulisnya, dan telah disebarkan kepada para jemputan dan penulis sendiri pada hari pelancaran. 

Katalog buku yang dilancarkan

Dalam katalog, dinyatakan biodata penulis dan sinopsis buku

Secara peribadi, ini ialah kali pertama aku menjejakkan kaki ke DTSP walaupun telah beberapa kali juga aku ke USM Pulau Pinang sebelum ni. Semasa sampai, ku lihat pihak DBP dan USM ada membuka gerai jualan buku. Kami berlegar-legar sebentar di luar sebelum majlis. 

Kami berlegar-legar dahulu sebelum majlis bermula

Sebenarnya, aku agak kekok juga menghadiri majlis ini kerana tidak terlibat secara langsung dengan persediaannya. Sebab itulah, pada awalnya aku nak datang secara senyap-senyap jer. Aku dijemput sebagai tanda penghargaan atas 'air tanganku' terhadap pengurusan buku tersebut pada peringkat awalnya (agaknyalah ...) Biasanya, aku jadi 'orang pangkal atau orang penangah' bagi majlis sebegini, bersama-sama pembantuku, tapi kali ni jadi tetamu pulak ... Alamak, janggalnya rasa. Kami dari DBP diberi tempat duduk baris hadapan bersebelahan dengan barisan para penulis. 

Penulis buku yang dilancarkan berada di barisan depan
Pihak DBP juga diberikan tempat di barisan depan

Sambil menunggu majlis bermula, aku sempat merakamkan pentas Dewan, tempat pelancaran  diadakan ...

Bahagian depan pentas
Sebelah kiri pentas, terdapat rostrum tempat tetamu khas menyampaikan ucapan
Sebelah kanan pentas, terdapat rostrum untuk pengacara majlis

Majlis bermula pada jam 9.00 pagi, dengan ketibaan tetamu kenamaan dan TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bersama-sama isteri beliau, YAB Toh Puan Hajah Majimor Shariff.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Menara Ilmu, diikuti dengan persembahan video Transformasi USM. Kemudian Naib Canselor USM, Prof. Dato' Dr. Omar Osman, menyampaikan perutusan tahunan (BUKU 2012).

Naib Canselor USM sedang menyampaikan ucapan

Selesai perutusan, barulah dimulakan upacara penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, dan pelancaran buku. Upacara dimulai dengan ucapan wakil penulis dan Ketua Pengarah DBP, diikuti dengan penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, penandatanganan plak oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan tayangan video buku-buku yang dilancarkan.

Wakil penulis sedang menyampaikan ucapan

Dalam ucapan oleh wakil penulis, Prof. Shaiful Bahari Ismail, aku amat tertarik dengan persembahan beliau tentang sinopsis buku-buku yang dilancarkan itu. Untuk dikongsi bersama sinopsis yang disampaikan dalam bentuk yang agak puitis nukilan beliau bersama-sama Dr. Mohd Ismail Ibrahim, beginilah bunyinya ... (in rhyme - ada rima) ...

"Sudah menjadi lumrah kehidupan, 
kehadiran cahaya mata merupakan saat yang paling dinantikan oleh pasangan. 

...  Namun tidak semua berpeluang menikmatinya ... 

INFERTILITI bukan lagi satu mitos dan masalah yang tersendiri, 
tetapi ia perlu difahami. 

PERMASALAHAN SINDROM OVARI POLISISTIK memungkinkan infertiliti terjadi, 
namun dengan RAWATAN MELALUI TEKNIK BANTUAN REPRODUKTIF harapan mungkin menjadi realiti. 

... Dengan penyelesaian masalah INFERTILITI ... 


Segala yang gundah menjadi indah 
dan sinar harapan akan muncul di SEBALIK SERIBU IMPIAN.

      Infertiliti diatasi, 
anak yang dikandung perlu dijaga dengan rapi. 
Pelbagai nasihat perlu dituruti, 
UBAT dan KEHAMILAN perlu diketahui dan difahami,
 agar anak dan ibu sihat sepanjang hari.

Lahirlah zuriat dengan sempurna sifat, 
SUSU IBU santapan penuh khasiat. 
Ia merupakan titisan mutiara asli daripada bonda, 
buat anakanda tercinta. 

Jika minda masih tak keruan, 
bacalah 100 PERSOALAN MENGENAI PENYUSUAN .

Anak membesar menjadi remaja, 
pelbagai dugaan dan ujian datang melanda, 
dari perubahan fizikal, mental dan sosial, dia bergerak menjadi dewasa. 
Namun jangan leka, 
tersilap langkah buruk padahnya. 

…. GADISKU BACALAH
fahamilah perubahan dirimu, 
jangan mudah terjerat dengan cintamu 
yang mungkin boleh menghancurkanmu. 

Permainan komputer, facebook dan twitter ada baik ada buruknya, 
dengar nasihat ibu dan bapa….
jika  ikut petua boleh mengelak PENYAKIT BAWAAN KOMPUTER.

 Dalam meniti usia dewasa, 
kemalangan boleh terjadi tanpa diduga, 
kecederaan anggota perlu dirawat dengan segera, 
TRAUMA adalah perkara biasa,  
jika difahami mengurangkan derita. 

Di usia dewasa, saringan kesihatan amatlah penting, 
PENGESANAN AWAL PENYAKIT menjadi genting, 
agar badan menjadi benteng. 

KANSER PAYUDARA tidak boleh dilupa, 
pembunuh nombor satu wanita di negara kita, 
pengetahuan mengenainya perlu disegera 
agar ia tidak menjadi teman pengakhir nyawa.

Bila usia semakin senja, 
pelbagai penyakit datang dengan tiba-tiba. 
KESIHATAN WANITA  di USIA EMAS
perlu sentiasa diselami dan diperkemas. 
Kaum lelaki juga perlu mengetahui dan mengambil berat, 
agar keluarga, masyarakat dan negara berjaya dimartabat."

Selesai ucapan wakil penulis, sampailah masanya Ketua Pengarah DBP,  YBhg. Dato' Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, pula menyampaikan ucapan. Ini diikuti dengan penandatanganan MoU antara USM dengan DBP, yang disaksikan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Ketua Pengarah DBP sedang menyampaikan ucapan

Selesai ucapan Ketua Pengarah DBP, barulah pelancaran buku dilaksanakan, diikuti dengan penandatanganan plak oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, tayangan multimedia (berkenaan dengan buku yang dilancarkan), dan penyampaian cenderamata kepada penulis (naskhah percuma buku karya penulis).

Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, selaku penyelaras di HUSM, menerima cenderamata
Tetamu kehormat yang berada di pentas semasa majlis berlangsung

Semasa tayangan video, aku tidak dapat menahan air mata daripada menitis, melihat buku-buku yang telah diterbitkan oleh para penulis, yang terdiri daripada staf HUSM Kubang Kerian - jururawat, doktor dan doktor pakar. Aku mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa buku-buku ini akan dicari oleh pembaca untuk mendapatkan maklumat yang berguna untuk mereka, apa lagi penulisan dan persembahannya tidak bersifat teknikal kerana buku-buku tersebut ditujukan khas untuk pembaca umum.

Selepas itu pihak USM menyampaikan cek kepada Penerbit USM, dikuti dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita. Dengan itu, majlis pun tamat dan tetamu bersurai untuk menikmati jamuan yang disediakan.

Tetamu kehormat turun dari pentas
Tetamu bersurai untuk menikmati jamuan yang disediakan
Penulis juga bersurai

Sebelum bersurai, para penulis bergambar dengan editor. Aku tidak memiliki gambar itu untuk diabadikan dalam blog ini. Gambar-gambar semasa penandatanganan MoU juga tidak dapat aku snap sebab ramai jurufoto yang berkerumun di hadapan pentas. Aku nak menyelit pun malu kerana aku guna kamera telefon bimbit jer. I snapped all the photos using my humble handphone's camera!!! Hahaha ... malu you ... Gambar para penulis mengambil cenderamata mereka pula kabur, kecuali gambar Dr. Nik.

Aku juga tidak bergambar dengan para penulis dan kurang beramah mesra dengan mereka. Mungkin aku terlalu lara semasa majlis berlangsung. Kenapa lara sangat?? Sebab rasanya inilah majlis rasmi terakhir yang akan ku hadiri sepanjang karierku, terutamanya sebagai editor perolehan. Terima kasih bos kerana menjemputku secara rasmi. Jika tidak dijemput pun aku akan menghadirinya secara senyap-senyap, asalkan aku dapat melihat para penulisku naik ke pentas dan lepaslah rinduku kepada mereka semua. Aku dapat merasakan corak kehidupanku selepas ni agak berbeza, wallahualam ...

Aku hanya dapat snap gambar penulis "Kanser Payudara: Teman ke Akhir Hayat", dengan suami beliau. Itupun sebab kami tak pergi menikmati jamuan yang disediakan. Kami sama-sama menunggu suamiku datang fetch kami ...  Harapanku agar hubungan silaturrahimku dengan para penulis tidak terputus. Harap aku juga sentiasa dapat membantu mereka walaupun di belakang tabir nanti ... Wallahualam juga ...

Penulis buku "Kanser Payudara", Prof. Madya Dr. Hasanah Che Ismail dengan suami beliau, En. Shuib Puteh

... SALAH SATU KENANGAN MANIS YANG AKAN SENTIASA TERPAHAT DI HATIKU ...