Wednesday, January 18, 2012

Suka, Sedih, Suka ...

Pada hari Ahad (15 Jan 2012) hari tu, kami sekeluarga excited nak pergi zoo dengan adik-beradik, anak sedara dan mak (dari kampung). Kami dah lama bercadang nak ke zoo, sebab dah lama sangat kami tak ke sana (last sekali kami ke sana masa anak-anak masih kecil lagi, dan sekarang mereka semua dah dewasa!). Pagi-pagi, lagi aku dan suami dah siap goreng ayam berempah untuk dibawa. Main dish disediakan oleh Umi (isteri adik ipar),  iaitu nasi lemak. Bila mak dah sampai dengan 2 orang anak sedara dari kampung, kami pun gerak. 

Sampai di zoo, terus beli tiket. Wow ... sekarang tiket dah RM20.00 seorang. Kalau nak masuk ke Taman Rama-rama, kena tambah RM5.00 lagi. Kami beli tiket RM25.00 seorang, dan menunggu mereka (2 kereta lagi) belum sampai. Bila mereka dah sampai, kami semua pun masuk. Dah hari dah tengah hari, kami menjamu selera dulu, baru jalan-jalan dalam zoo. Seronok sangat, tapi kaki sakit dan lenguh jugalah berjalan jauh dalam zoo tu, tengok semua haiwan yang ada di situ. Dah petang baru balik. Singgah rumah Pak Pon dulu, pekena mi goreng.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku terima SMS daripada seorang sahabat mengatakan salah seorang sahabat kami yang menghidap kanser sedang berada di HUKM, tidak sedarkan diri. Sahabat berpesan supaya mendoakan sahabat yang sakit, agar dipermudahkan. Bila baca SMS tu, rasa tersentap hati ... mungkin sahabat tu sedang nazak. Ya Allah, terkedu aku dibuatnya ...

Dalam keadaan begitu, tiada apa yang boleh dilakukan selain daripada mendoakan beliau. Selepas solat Maghrib, aku buat solat hajat khas untuk beliau. Aku memanjatkan doa semoga beliau sembuh jika Allah mengizinkan beliau didizinkan-Nya dapat menikmati hidup di alam maya ini lagi. Jika tidak, aku mohon supaya Allah permudahkan beliau menghadapi sakaratulmaut. Doa itu tidak lekang, sehingga aku lena ...

Pada paginya (16 Jan. 2012), hatiku berdebar-debar mendengar bunyi mesej dari telefonku. Dan ... Allah menyayangi sahabat kami. Beliau telah kembali ke pangkuan Illahi pada pagi tu. "Daripada Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali". Semoga sahabat itu telah kembali dengan tenang dan Allah mengumpulkan rohnya bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan orang-orang yang masuk syurga. Semoga ahli keluarga beliau tabah menghadapi kehilangan ini ...

Pemergian sahabat ini sangat terkesan di hatiku, kerana beliau didiagnosis semasa aku menjalani pembedahan di HUSM Kota Bharu pada bulan Jan. 2011.  Apabila balik dari KB, aku dapat bercakap melalui telefon dengan beliau sekali, dan beliau kedengaran amat kuat semangat dan ceria. Kami sama-sama memberikan semangat antara satu sama lain. Semasa aku membuat CT scan di HUKM pula, aku sempat menemui beliau yang sedang menjalani kemo pada hari tu. Beliau nampak ceria dan bersemangat sekali. Selepas tu, aku sibuk ke HKL menjalani rawatan kemo dan radio, hingga selesai pada awal Dec. 2012. Hatiku sentiasa tertanya-tanya akan keadaan beliau, dengan harapan beliau beransur pulih dan sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.

Apabila selesai kemo, aku teringin sekali nak menziarahi dan menemui beliau. Aku cuba SMS rakan-rakan yang berada di HUKM, malah kepada beliau sendiri bertanyakan khabar. Aku tak berani nak menelefon, kalau-kalau menggangu pula. Malangnya, aku tidak mendapat sebarang jawapan. Dalam aku berkira-kira nak menelefon beliau atau rakan-rakan di HUKM lagi, aku mendapat berita pemergiannya. Memang tiada rezeki aku nak bertemu dengan beliau. Walau apapun, beliau tetap berada di dalam hatiku walaupun kami tidaklah berapa rapat sangat, tetapi aku memang menganggap beliau sebagai sahabatku apa lagi kami sekapal! Doaku semoga Allah sentiasa merahmati roh sahabatku Dr. Ruzana, dan menempatkan beliau pada kedudukan yang terbaik di sisi-Nya, aminnn ... Itu sahaja bantuan yang dapat diberikan.

Semalam pula, aku mendapat satu kejutan lagi ... kejutan yang gembira. Tanpa disangka-sangka semasa melayani FB, aku mendapat mesej daripada anak sedaraku yang sebelum ni belajar di US ingin datang menziarahiku. Anak sedaraku ini ialah anak sulung kepada abang sulungku yang telah meninggal lebih 10 tahun lalu kerana menghidap kanser paru-paru, hanya lebih kurang 3 bulan selepas belaiu didiagnosis. Ya Allah, rupanya beliau berada di Malaysia - winter break selama sebulan.

Betapa gembiranya hatiku apabila beliau sekeluarga datang ke rumah. Aku hanya sempat menjamu beliau dengan kuey teow goreng dan satay jer, tapi beliau anak-beranak nampak amat berselera sekali makan, Alhamdulillah. Habis licin semua ... Rasa tak cukup masa kami berborak pelbagai cerita  - pengalamanku menghadapi penyakit, pengalamannya di US dan isterinya yang tinggal bersama-sama anak. Nampak beliau happy sekali dapat bersama-sama keluarga, walaupun cuma sebulan, setelah setahun di luar negara. Beliau akan balik semula ke US pada hari Isnin sorang diri lagi. Isteri dan anak-anak hanya akan menyertai beliau dalam masa 4 atau 5 bulan lagi kerana isterinya terpaksa menyelesaikan kursus PhD-nya. Semoga Allah memberikan ketabahan kepada mereka semua, dan memudahkan urusan mereka ...

... Sama ada suka atau duka, semuanya berlaku atas kehendak dan izin Allah jua ...


2 comments:

  1. Musim ke musim salih berganti
    Satu demi satu pergi dahulu
    Tidakkan ku gusar bila ku akan mati
    Teman sejati sentiasa membantu

    --Al Fatihah untuk arwah

    ReplyDelete
  2. Semoga kita semua sembuh sepenuhnya, dan akan kembali kepada-Nya dalam keadaan yang diredhai-Nya ...

    ReplyDelete