Sunday, May 20, 2012

Minggu yang Sibuk - Pendaftaran Anak ke IPT

Minggu ini ialah minggu yang sibuk bagi aku sekeluarga. Tiap-tiap hari, kami banyak menghabiskan masa di luar. Aku pun dapat pergi ke Fitness Center hanya pada hari Isnin. Hari-hari seterusnya dihabiskan di pusat beli belah untuk mencari barang-barang keperluan Wani yang akan mendaftar di Uniten pada hari Sabtu. Macam-macam barang yang dikehendakinya - semua keperluan pakaian dan barang-barang untuk minggu orientasi. Yang terakhir ialah pemeriksaan kesihatan pada hari Jumaat! Yuhuuu ... penat juga dibuatnya. Terasa miss home! hehe.

Pada hari Sabtu, pagi-pagi lagi aku, abah dan Wani keluar ke Uniten. Sampai di sana, masih tidak berapa ramai lagi orang tetapi Wani perlu beratur juga untuk mendaftar dan mengambil angka giliran bagi proses seterusnya membuat pembayaran dan kad pelajar. Wani dapat nombor 54, Alhamdulillah ... belum berapa ramai lagi yang datang mendaftar. Sementara menunggu nombor dipanggil, Wani perlu mengisi beberapa dokumen, dan sudah pasti mak kena bantu!!! 

Wani beratur untuk mendaftar dan mengambil angka giliran
Mengisi beberapa dokumen sebelum dipanggil
Masa yang paling lama ialah menunggu Wani menyelesaikan bayaran dan mendapatkan kad pelajar. Perutku terasa lapar juga, tetapi selera terbantut selagi semuanya tidak selesai. Sementara menunggu Wani menyelesaikan bayaran dan membuat kad pelajar, aku mendengar taklimat tentang pembiayaan yang disediakan oleh pihak Uniten (Abah menunggu Wani di luar). Sedang elok Wani selesai, taklimat pun selesai. Masa tu pun orang dah ramai dan nasib baik kami awal ...  

Taraaa ... kad pelajar Wani
Sampai ke tahap tu, kami pun tak tahan lapar dan pergi makan dulu di cafeteria. Alhamdulillah, dah kenyang, kami pergi pula ke hostel untuk menghantar barang-barang. Fuh, bilik Wani di tingkat 2  ... tercungap-cungap dibuatnya bawa barang-barang naik ke atas. Bilik hostel kira ok juga kerana ia sebuah unit apartment 2 bilik, dengan 2 orang setiap bilik. Semasa kami sampai, belum ada seorang pun yang masuk lagi. Dah selesai letak barang kami pun balik ke rumah bersama-sama Wani kerana Wani perlu berada di hostel sebelum pukul 6 petang untuk makan malam di hostel, maka dapatlah Wani berehat lagi di rumah.

Pada petangnya, kami pergi menghantar Wani ke hostel semula. Apabila sampai, 2 orang rakan bilik telah ada. Aku berasa senang hati meninggalkan Wani kerana rakan sebiliknya seorang Muslim yang nampak baik dan berasal dari negeri yang sama pula (kalau dapat non-Muslim tak selesa nanti). Dah selesai semuanya, kami pun beredar untuk balik kampung. Hai, rasa tak percayalah pula anak bongsuku yang manja tu dah masuk kolej rupanya. Walaupun Wani manja dan nampak childish, tetapi dia seorang yang matang sebenarnya. Agaknya, sebab rupa dan perangainya yang childish tu membuatkan orang mudah sangat melukakan hatinya, kononnya budak-budak! ... Kesian. Semoga Wani akan berjaya dalam kursus Foundation in Electrical and Electronic Engineering.

Pada malanya, aku berasa agak sedih juga apabila Wani memberitahu yang dia kelaparan kerana makanan yang disediakan tidak kena dengan seleranya. Nak keluar tak boleh pula, kesian anakku ...  Nasib baik aku ada membekalkan biskut dan air milo kotak. Harap-harap dia boleh survive sampai pagi! Rasa sayu hatiku lagi apabila diberitahu yang pada paginya pihak Uniten tidak menyediakan sarapan pagi, dan Wani minta aku menghantar nasi goreng nanti. Orientasi bermula pada petangnya dan keluarga boleh melawat lagi pada paginya.  

Pada pagi ni, aku dan suami menyediakan nasi goreng untuk Wani dan menghantarkannya bersama-sama barang keperluan lain yang masih belum cukup. Sudah pasti aku membelikan makanan lagi untuk bekalan Wani apabila lapar nanti ... Kesian dia nanti apabila lapar dan tiada makanan pula. Tak mengapalah ... itu semua sebagai pengalaman buatnya. 

Hajat hati nak berehat tak kesampaian, kerana pada hari ni ada 3 jemputan majlis perkahwinan. Hai, nampak gaya hanya 2 jemputan sahaja yang dapat kami penuhi ... Itu pun sampai rumah semula hampir pukul 6 petang. Lepas ni bolehlah aku meneruskan kembali rutin harianku ke Fitness Center setiap hari, insyaallah...

Friday, May 18, 2012

Pentas Dunia, Realiti Hidup yang Sukar Dihindari

Begitu sunyi blog ini ditinggalkan tuannya yang kalut tak menentu ... Dalam kekalutan itu jua, pelbagai peristiwa berlaku di pentas dunia ini dengan watak utamanya dilakonkan oleh manusia dengan realiti hidup masing-masing. Ada yang suka dan ada yang duka...

Satu perkara yang nyata, kelompok yang dahulunya kanak-kanak kini telah menginjak dewasa. Masing-masing dah mula mempunyai pasangan sendiri, dan ramai juga yang telah meneruskan kehidupan masing-masing di alam pertunangan dan perkahwinan. Bagi pasangan-pasangan ini, semua itu menjadi sesuatu yang manis dalam kehidupan mereka. Semoga mereka semua kekal bahagia hingga ke akhir hayat, amin.

Bagi mereka yang masih bercinta, aku nampak pelik apabila ada yang dah memberikan hati masing-masing kepada pasangannya, tetapi tidak segan-segan 'menggedik' pula dengan orang lain. Kepada yang melakukanya, tidakkah terasa yang pasangannya akan cemburu dan sakit hati melihat gelagatnya yang begitu, atau jika pasangannya melakukan begitu tidakkah dia sendiri berasa cemburu dan sakit hati? Terdapat pasangan yang telah lama berkawan tetapi meninggalkan pasangannya dan pergi berkawan dengan orang lain pula. Yang paling kesian apabila bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain pula. 

Terdapat pasangan yang telah berkahwin pula mensia-siakan perkahwinan dengan bersikap curang. Di hadapan suami/isteri nampak baik dan intim, tetapi di belakang rupa-rupanya mempunyai hubungan yang lain. Ada juga yang nampak begitu baik,  loving dan punya puji pasangan masing-masing semasa berada di khalayak, seolah-olah mereka sahajalah pasangan yang paling bahagia di dunia ini, tetapi hakikatnya di rumah masing-masing begitu dingin atau seperti musuh antara satu sama lain. Peliknya hidup ini ye ... Aku menggelar pasangan begitu sebagai pasangan yang gedik!!! Hoho ... hipokrit. Itulah yang berlaku di pentas dunia sekarang. Mungkin dahulu pun begitu tetapi aku tidak begitu prihatin ...

Masuk pula ke bab penganiayaan ... Berlaku satu kes yang aku rasa tidak percaya apabila ada orang yang telah lama berkawan dan telah berjanji untuk maju dan bangun bersama-sama dalam karier, tiba-tiba menikam kawan dari belakang. Yang paling rasa tak percaya, orang yang melakukannya kelihatan begitu warak dan baik sekali, rupa-rupanya dalam hati penuh dengan hasad dengki dengan kawan sendiri lantas menganiaya dan menikam kawan sendiri. 

Dalam kalangan adik-beradik dan sedara-mara sendiri pun tidak kurang juga hebatnya pelakon-pelakon ini. Ada yang berlumba-lumba hendak menunjukkan kehebatan diri masing-masing, sama ada dari segi rupa, harta atau pangkat ... pathetic. Apabila rasa senang bukan main sombong lagi, tetapi apabila rasa susah dan tertekan barulah nak mencari adik-beradik atau sedara-mara yang lain. 

Dalam alam pekerjaan lagi hebat! Kerana nak mengejar pangkat dan kuasa sanggup berbuat apa-apa sahaja, tak kiralah membodek, menikam orang lain atau menjatuhkan orang lain. Yang peliknya, orang-orang yang begini ialah orang yang bukan mahir dalam kerja-kerjanya tetapi pandai menunjukkan 'kehebatan' dirinya dengan orang yang lebih tinggi pangkat daripadanya, lantas orang 'yang tinggi pangkat' itu pun kagum dan pengejar pangkat itu dapatlah apa yang dikejarnya. Rezeki masing-masing ... tetapi sedihnya apabila dah dapat pangkat dan kedudukan tu sampai hati menindas orang yang di bawahnya melalui kuasanya ... Mereka lupa akan amanah yang sepatutnya mereka laksanakan. 

Hai ... itulah beberapa perkara yang menarik perhatianku 'sejak dua menjak' aku bercuti panjang ini. Apabila melihat itu semua, aku hanya mampu berdoa semoga Allah memelihara diriku dan keluarga agar Allah melindungi kami daripada melakukan atau diperlakukan perkara-perkara tersebut. Sebenarnya kami ada diperlakukan, tetapi aku sentiasa menasihati keluargaku agar bersabar dan tidak melakukannya pula kepada orang lain, insyaallah ... 

Sebenarnya begitu banyak juga perkara yang baik berlaku, tetapi apa yang kucoretkan di sini sesuai dengan tajuk postku itu yang lebih banyak membawa konotasi negatif ... wallahualam ...