Wednesday, September 5, 2012

Wedding Wishes for My Dearest Niece ...


Khas dan teristimewa buat anak sedaraku, Nurfadzila Noorazmi (kakak Fadzila) dan pasangannya Ilmar Awwalin Ramli ... 
Semoga Allah sentiasa memberikan rahmat,
Bahagia hingga ke akhir hayat ...
(Sila hentikan muzik blog ini dahulu untuk mendengar muzik kad ucapan ini)

... APABILA HATI TELAH TERTAUT ...

    
...  SELAMAT PENGANTIN BARU  ...

1 September 2012 (Sabtu), akan menjadi hari yang paling bersejarah dan bakal diingati oleh anak sedaraku dan suaminya sepanjang hayat mereka. Tarikh itu merupakan hari yang telah menyatukan mereka secara rasmi dalam satu upacara pernikahan, menjadikan mereka sah sebagai suami isteri dan akan menerajui kehidupan ini bersama-sama hingga ke akhir hayat mereka, insyaallah. 

Majlis pernikahan diadakan di kampung, di rumah mak mertuaku (Kampong Lanjut Manis, Terachi, Negeri Sembilan). Kakak ialah cucu sulung abang iparku yang telah dibela oleh mak sejak kecil lagi, dan menjadi 'anak' mak memandangkan mak tidak mempunyai anak perempuan. Pernikahan dijalankan dengan penuh istiadat Negeri Sembilan, iaitu Adat Pepatih. Walaupun aku anak jati Negeri Sembilan, sebenarnya aku sendiri tidak berapa faham dengan adat ini. Al-maklum, dah jadi anak generasi moden duduk di bandar; pastinya anak-anak dan cucu-cucuku nanti langsung tak tahu berkenaan adat ini!!!

Sebelum majlis ini, pelbagai persiapan awal telah dibuat oleh keluarga, termasuklah menginai pengantin dan menyiapkan bilik tidur, tempat nikah dan tempat makan pengantin ...

Inai di jari dipakai lebih awal.
Hiasan bilik tidur.
Katil pengantin.
Tempat nikah.
Meja makan pengantin.

Barang hantaran daripada kedua-dua belah pihak tidak begitu banyak tetapi meriah ... Bila aku melihat barang hantaran daripada pihak lelaki, tak tahan aku melihat jam tangan dan SIII tu! Kalau kedua-dua barang tu missing, kakak jangan kata mak ngah yang 'cilok' ye, haha ...
Barang hantaran daripada pihak perempuan untuk pengantin lelaki.
Barang hantaran daripada pihak lelaki untuk pengantin perempuan.

Sebelum upacara pernikahan, kakak sempat bergambar-gambar dahulu; sebelum bergelar isteri sebentar lagi ...

Berseri dan cantiknya kakak menjadi pengantin.
Opsss ... aku pun nak mengabadikan gambar kenangan
bersama-sama kakak sebelum kakak menjadi isteri.

Apabila pengantin lelaki sampai, kira-kira pukul 12 tengah hari, upacara pernikahan pun dimulakan dengan Pak Imam membacakan khutbah nikah kepada kedua-dua mempelai dan para hadirin. Agak panjang juga khutbah tu ...

Bersedia untuk upacara pernikahan.
Imam membacakan khutbah nikah.

Selesai khutbah, barulah upacara pernikahan dimulakan. Daripada pandanganku, kedua-dua ayah pengantin perempuan dan pengantin lelaki sangat gabra! Ayah pengantin perempuan lebih gabra!! Nasib baik ada Ucop sebelah menenangkan Pak Longnya, haha ...

Akad nikah dan berdoa setelah selesai, Alhamdulillah.
Selesai akad nikah, Pak Imam menyuruh pengantin lelaki membaca lafaz taklik. Seterusnya, kedua-dua mempelai menandatangani surat 'akujanji' ...

Pengantin lelaki melafazkan taklik.
Kedua-dua mempelai menandatangani surat 'akujanji'.
Kakak bergambar di tempat upacara pernikahan setelah selesai bernikah.
Apabila semuanya selesai, pengantin lelaki memohon diri untuk menunaikan solat sunat nikah. Kemudian, pengantin lelaki menyerahkan mas kawin  dan memakaikan rantai tangan hadiah perkahwinan kepada pengantin perempuan ... seterusnya bersalaman suami isteri, dengan ayah bonda dan tetamu (khususnya bapak-bapak dan orang tua kampung).

Menyerahkan mas kawin.
Memakaikan rantai tangan hadiah perkahwinan.
Syahdu isteri bersalam dan mencium tangan suami.
Bersalam dan memohon restu ayah bonda.
  
Bersalam dan memohon restu daripada Uwan yang telah menjaga kakak sejak kecil.
Mempelai dibawa berkenalan dengan tetamu di kampung.
Kakak bergambar dengan kedua-dua ayah dan bonda.
Senang hati setelah semuanya selesai.

Upacara pernikahan mengambil masa yang agak lama juga. Tetamu yang diundang telah ramai yang datang. Akan tetapi, mengikut adat, tetamu tidak boleh menikmati jamuan tengah hari lagi sehinggalah bapak adat yang terlibat dengan upacara pernikahan makan dahulu. Dah selesai, barulah semua orang boleh makan ...

Mempelai menikmati jamuan makan tengah hari dengan senang hati.
Antara yang menemani pengantin:
bonda kakak, mak sedara (aku) dan Uwan pengantin perempuan.
Adirah (adik pengantin perempuan), pelayan di meja pengantin ... terbaik Ya!
Yana yang letih melayan tetamu minta disuapi kakak!
Tetamu menikmati hidangan di khemah hadapan.
Tetamu minikmati hidangan di khemah belakang.
Penanggah.
Suasana di penanggah dan petugas-petugasnya.

Pada keesukan harinya, 2 September 2012, berlangsung reception di rumah pengantin lelaki. Malangnya, aku tidak dapat merakamkan gambar-gambar di sana kerana tertinggal handphone! Tak ada rezeki. Gambar-gambar yang ada ini diambil daripada FB kakak jer ...

Bersiap di kampung untuk reception di rumah pihak lelaki. So beautiful kakak!

Samapi di rumah pihak lelaki di Ampang.
SELAMAT BERBAHAGIA 
MENEMPUHI ALAM RUMAHTANGGA
... ILMAR dan FADZILA ...

Hingga ketemu untuk reception di rumah pihak perempuan di Bangi pada bulan Oktober 2012 nanti.

Tuesday, September 4, 2012

Khatam Al-Quran dan Persediaan Nikah My Dearest Niece, Kak Fadzila

31 Ogos 2012 ialah Hari Merdeka. Hari itu ialah hari cuti umum bagi penduduk Malaysia. Namun, bagi anak sedaraku Norfadzila Noorazmi (kakak), iaitu anak sulung kepada abang iparku yang sulung, hari itu ialah hari yang mendebarkan. Hari itu diadakan majlis khatam Al-Quran baginya sebelum melangsungkan pernikahan pada esuk harinya.

Pagi-pagi lagi aku telah bersiap-siap membuat sambal tumis ikan bilis untuk lauk pulut kuning, sempena dengan majlis tersebut. Selesai masak aku dan anak-anak terus balik kampung (abah dah balik sebelum itu lagi). Majlis diadakan selepas Asar. Semasa berkhatam, kakak ditemani oleh kakak Izzaty (anak Pak Pon yang sulung), dengan jamuan minum petang selepas majlis selesai. Tetamu dijamu dengan pulut kuning dengan sambal tumis ikan bilis (yang aku bikin tulah!!! huhu), agar-agar (bikinan Uwan bakal pengantin) dan kuih karipap yang tempah oleh mak. Alhamdulillah ... semuanya berjalan dengan lancar ...

Kakak dan kakak Izzaty senang hati dah selesai.
Hidangan selepas majlis khatam.

Pada malamnya, kami sibuk untuk persediaan majlis nikah pada hari esuknya pula. Kaum ibu sibuk mengukus pulut dan masak lauk tempoyak. Anak dara tolong siapkan telur untuk tetamu. Pengantin pula memakai inai. Sambil-sambil tu kami semua berjamu sup gear box dan mi goreng. Kami tidak masak untuk majlis pernikahan kerana mak telah menempah makanan untuk buffet sahaja nanti. Jika tidak, malam tu sememangnya 'merembat' masak untuk jamuan pada hari siangnya.

Perah kelapa untuk santan pulut dan gulai tempoyak.
Nak kukus pulut kuning.
Pulut yang telah dikukus dibubuh santan pekat supaya lembut dan lemak.
Telur untuk tetamu
Pengantin memakai inai.
Tukang tumbuk inai, Anyen dan Teha.
Sup gear box.
Kira-kira pukul 12 tengah malam, aku dah tahan  dan terus booom walaupun di luar masih kalut lagi ... Besuknya pasti sibuk ...