Friday, May 18, 2012

Pentas Dunia, Realiti Hidup yang Sukar Dihindari

Begitu sunyi blog ini ditinggalkan tuannya yang kalut tak menentu ... Dalam kekalutan itu jua, pelbagai peristiwa berlaku di pentas dunia ini dengan watak utamanya dilakonkan oleh manusia dengan realiti hidup masing-masing. Ada yang suka dan ada yang duka...

Satu perkara yang nyata, kelompok yang dahulunya kanak-kanak kini telah menginjak dewasa. Masing-masing dah mula mempunyai pasangan sendiri, dan ramai juga yang telah meneruskan kehidupan masing-masing di alam pertunangan dan perkahwinan. Bagi pasangan-pasangan ini, semua itu menjadi sesuatu yang manis dalam kehidupan mereka. Semoga mereka semua kekal bahagia hingga ke akhir hayat, amin.

Bagi mereka yang masih bercinta, aku nampak pelik apabila ada yang dah memberikan hati masing-masing kepada pasangannya, tetapi tidak segan-segan 'menggedik' pula dengan orang lain. Kepada yang melakukanya, tidakkah terasa yang pasangannya akan cemburu dan sakit hati melihat gelagatnya yang begitu, atau jika pasangannya melakukan begitu tidakkah dia sendiri berasa cemburu dan sakit hati? Terdapat pasangan yang telah lama berkawan tetapi meninggalkan pasangannya dan pergi berkawan dengan orang lain pula. Yang paling kesian apabila bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain pula. 

Terdapat pasangan yang telah berkahwin pula mensia-siakan perkahwinan dengan bersikap curang. Di hadapan suami/isteri nampak baik dan intim, tetapi di belakang rupa-rupanya mempunyai hubungan yang lain. Ada juga yang nampak begitu baik,  loving dan punya puji pasangan masing-masing semasa berada di khalayak, seolah-olah mereka sahajalah pasangan yang paling bahagia di dunia ini, tetapi hakikatnya di rumah masing-masing begitu dingin atau seperti musuh antara satu sama lain. Peliknya hidup ini ye ... Aku menggelar pasangan begitu sebagai pasangan yang gedik!!! Hoho ... hipokrit. Itulah yang berlaku di pentas dunia sekarang. Mungkin dahulu pun begitu tetapi aku tidak begitu prihatin ...

Masuk pula ke bab penganiayaan ... Berlaku satu kes yang aku rasa tidak percaya apabila ada orang yang telah lama berkawan dan telah berjanji untuk maju dan bangun bersama-sama dalam karier, tiba-tiba menikam kawan dari belakang. Yang paling rasa tak percaya, orang yang melakukannya kelihatan begitu warak dan baik sekali, rupa-rupanya dalam hati penuh dengan hasad dengki dengan kawan sendiri lantas menganiaya dan menikam kawan sendiri. 

Dalam kalangan adik-beradik dan sedara-mara sendiri pun tidak kurang juga hebatnya pelakon-pelakon ini. Ada yang berlumba-lumba hendak menunjukkan kehebatan diri masing-masing, sama ada dari segi rupa, harta atau pangkat ... pathetic. Apabila rasa senang bukan main sombong lagi, tetapi apabila rasa susah dan tertekan barulah nak mencari adik-beradik atau sedara-mara yang lain. 

Dalam alam pekerjaan lagi hebat! Kerana nak mengejar pangkat dan kuasa sanggup berbuat apa-apa sahaja, tak kiralah membodek, menikam orang lain atau menjatuhkan orang lain. Yang peliknya, orang-orang yang begini ialah orang yang bukan mahir dalam kerja-kerjanya tetapi pandai menunjukkan 'kehebatan' dirinya dengan orang yang lebih tinggi pangkat daripadanya, lantas orang 'yang tinggi pangkat' itu pun kagum dan pengejar pangkat itu dapatlah apa yang dikejarnya. Rezeki masing-masing ... tetapi sedihnya apabila dah dapat pangkat dan kedudukan tu sampai hati menindas orang yang di bawahnya melalui kuasanya ... Mereka lupa akan amanah yang sepatutnya mereka laksanakan. 

Hai ... itulah beberapa perkara yang menarik perhatianku 'sejak dua menjak' aku bercuti panjang ini. Apabila melihat itu semua, aku hanya mampu berdoa semoga Allah memelihara diriku dan keluarga agar Allah melindungi kami daripada melakukan atau diperlakukan perkara-perkara tersebut. Sebenarnya kami ada diperlakukan, tetapi aku sentiasa menasihati keluargaku agar bersabar dan tidak melakukannya pula kepada orang lain, insyaallah ... 

Sebenarnya begitu banyak juga perkara yang baik berlaku, tetapi apa yang kucoretkan di sini sesuai dengan tajuk postku itu yang lebih banyak membawa konotasi negatif ... wallahualam ...  

3 comments:

  1. Hanya iman yang dapat menyelamatkan kita dari scenario ini... bahawa setiap perbuatan kita akan dibalas oleh Allah, sama ada kita perasan atau tak... wallahualam...

    ReplyDelete
  2. Memang setuju dengan Anonymous,kita sering lupa yang kita semua akan kembali kepada-Nya. Dek kerana lupa itulah pelbagai perbuatan boleh dilakukan. Kalau semua ingat akan mati, dunia akan aman sebab semua orang akan baik-baik semuanya!!

    ReplyDelete
  3. Aonymous, Ummu Madihah, semoga kita dan keturunan kita sentiasa mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah SWT

    ReplyDelete