Saturday, June 9, 2012

Wedding Wishes for Dearest Tinie

Khas dan teristimewa buat anak angkatku Tinie dan pasangannya, Muhsin...
(Sila hentikan muzik blog ini dahulu)


Seperti pinang dibelah dua - sama cantik, sama padan

SEMOGA KEKAL BAHAGIA HINGGA KE AKHIR HAYAT 

Pada pagi 27 Mei 2012, aku sekeluarga (tanpa abang) telah berangkat ke Ipoh untuk memenuhi jemputan perkahwinan sahabat baik Yana, Tinie. Tinie telah ku anggap sebagai anakku sendiri. Majlis diadakan di Dewan Bankuet SUK. Kami sengaja bergerak dari rumah lewat sedikit supaya kami tidak terserempak pengantin bersanding, lalu tak dapatlah kami nak berjumpa dengan pengantin nanti. Kami dari KL sekali dengan sahabat Yana, Akmar dan tunangnya. Apabila sampai...

Pemandangan apabila masuk ke dewan ...
Persada
Mungkin Tinie tidak menyangka Yana akan datang. Yana datang dengan keluarga dan  Akmar pulak tu! Apabila sampai, memang pengantin dah selesai bersanding dan makan. Kami dapat terus berjumpa pasangan pengantin. Nampak Tinie begitu gembira dan teruja sekali dengan kedatangan kami. Seterusnya kami semua menjamu selera kerana masing-masing dah kelaparan. Tetapi sebelum tu sempat bergambar-gambar dulu ...

Kami disambut mesra oleh pasangan pengantin
Bergambar ramai-ramai 
Yana, Tinie dan Akmar
Akmar, Tinie dan Yana
Tinie dan Yana

Semasa sedang makan, pengantin melayan tetamu-tetamu lain pula, dan hilang ... Rupa-rupanya, pasangan pengantin pergi bertsalin pakaian untuk upacara memotong kek. Sungguh cantik kelihatan pasangan pengantin dengan gaun dan sut putih - seperti prince dan princess!

Bergambar sebelum memotong kek pengantin

Upacara memotong kek

Selepas memotong kek, pasangan pengantin turun semula untuk bergambar bersama-sama keluarga dan tetamu, dan melayan tetamu sebelum tetamu pulang.

Gambar kenangan pasangan pengantin dengan sahabat
Dua sahabat karib - bila pulalah 'kembar' pengantin tu nak adakan majlis seperti ini?

Tinie dengan Akmar (tak lama lagi tu ...)
Barang-barang hantaran
Sebelum balik, kami sempat bergambar dulu di dalam dewan ...

Akmar dan tunangnya, yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi
 dan Yana
Pasangan otai ...!!!
Selepas selesai bergambar-gambar, kami pun beredar untuk balik. Memandangkan perjalanan agak jauh juga, kami menunaikan solat zohor dahulu di surau yang terdapat dalam bangunan itu. Setelah selesai, kami pun memulakan perjalanan. Dah memangnya kami sekeluarga kaki meryau, maka kami tidak terus balik tetapi naik di Cameron Highlands dahulu melalui Simpang Pulai...

Thursday, June 7, 2012

Musim Cuti Sekolah, Musim Kenduri

Dua minggu ini sekolah bercuti. Pada kesempatan ini, ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak bercuti, sama ada di dalam negeri atau di luar negeri. Tidak kurang juga ibu bapa mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri anak-anak bernikah atau bertunang, atau apa-apa kenduri lain, kerana pada masa cuti sekolah inilah mereka semua dapat mengumpulkan sanak saudara yang jauh dan dekat. Pada yang mengadakan majlis kenduri memang sibuk membuat persiapan, dan yang tidak ada majlis pula sibuk merancang untuk menghadiri jemputan majlis. Nampak gaya masa musim cuti sekolah ni, banyak dapur yang tidak berasap dan ibu-ibu ramai yang jadi 'mem' ... gantung periuk dan cuti masak pula!

Bagi aku sekeluarga, kami tidak pergi ke mana-mana kerana anak bongsu baru mendaftar ke kolej, dan abah pula berada di laut. Jadi, kami pergi makan kenduri ajelah. Hai, nampak gaya puas aku membakar lemak di gym tapi bina lemak balik dua kali ganda! Bila tengok lauk-lauk kenduri tu susah juga selera ni nak menolak. Yang paling aku tak tahan ialah melihat lauk daging kegemaranku - sungguh menggoda, sedangkan aku mesti mengelakkan diri daripada mengambil daging. Bila tengok lauk daging tu, hai Mak Cik Asiah kena urut dada - sabar, sabar ... jangan makan, kang kes naya kang! Tapi, agar tidak kempunan maka ambil jugalah sikit untuk rasa. Kang meleleh pulak air liur!!!

Sebenarnya, sebelum cuti sekolah lagi ada kawan karib kami semasa di sekolah menengah dulu mengadakan majlis kahwin anak mereka (aku dan suami dari sekolah yang sama, maka kawanku ialah kawan suamiku juga ... begitu jugalah sebaliknya ... menarik kan). Selain majlis kahwin anak kawan, aku juga dijemput untuk majlis kahwin kawan anak-anak, yang telah dianggap sebagai anakku juga.

Pada 1 April 2012, aku sekeluarga menghadiri majlis kahwin anak sulung lelaki kawan karibku, Hashimah Ismail (Shimah), di Kajang Utama. Kebetulan masa tu abah tidak di laut, maka kami dapat pergi dengan abah sekali. Seronok dapat berjumpa dengan kawan lama dan melihat keceriaannya menyambut menantu. Sebenarnya, keluarga kawanku itu telah menjadi seperti keluargaku sendiri maka bertambah meriahlah dapat berjumpa ramai anggota keluarga Shimah ...

Bergambar dengan ibu (sahabatku, Shimah) dan bapa pengantin
Bergambar dengan pengantin
Pada 13 Mei 2012, aku dan Wati memenuhi jemputan kawan karibku semasa sekolah dulu juga, di Tropicana Golf and Country Club, Petaling Jaya. Aku pergi dengan Wati (menumpang kawan abah -  Amat dan Aza suami isteri - kawan karib kami juga) kerana masa tu abah di laut. Ini merupakan majlis perkahwinan anak sulung perempuan kawan karibku Fuziah Ujud (Yan). Majlis bermula selepas waktu Maghrib, penuh gilang gemilang. Majlis ini memang betul majlis raja kerana dihadiri oleh Yang Amat Mulia Raja Kecil Perak, kerana suami Yan merupakan seorang kerabat diraja Perak. Majlis begitu harmoni dengan alunan muzik oleh orkestra kombo RTM kerana anak Yan bekerja di RTM...

Sahabatku Yan dan suami (Ibu dan ayah pengantin) 
Selamat Pengantin Baru Tengku Intan Freya dan suami 
Persada
Meja santapan
Orkestra kombo RTM

Yang paling seronoknya semasa majlis ini ialah majlis ini seolah-olah menjadi mini reunion bagi kami rakan-rakan sekolah menengah dahulu, setelah bertahun-tahun tidak bertemu. Terima kasih Yan kerana menjemput kami semua ... Dapat kami berjumpa dan bermesra setelah bertahun-tahun masing-masing menghilang dengan urusan masing-masing. Yan dan suami sibuk melayan tetamu, maka tidak sempat hendak bermesra dengan kami.

Semeja dengan sahabat SMDAS - Amat dan isteri, Fuziah Bakar dan suami, dan Adik Zainidah dan suami 
Bergambar ramai dengan rakan-rakan di SMDAS
Bergambar dengan Norizan (Anoi), rakan di TMS

Pada 13 Mei 2012, majlis perkahwinan kawan Wati, Anne (yang telah menjadi seperti anakku), pula. Malangnya, pada hari itu aku tidak dapat menghadirinya kerana menghantar anak bongsuku mendaftar di UNITEN. Sebagai wakil daripada keluarga kami, Wati dan Yana sahaja yang pergi ...

Hadiah untuk Anne
Selamat Pengantin Baru Anne

Pada 20 Mei 2012, ada 3 jemputan. Aku dapat hadir 2 majlis sahaja, iaitu majlis kahwin anak Siti yang berlangsung di Dewan bankuet UPM dan majlis kahwin anak bosku, Tn. Haji Jamaluddin di Rawang. Itu pun sampai rumah petang dan keletihan. Aku tak sempat nak menghadiri majlis kahwin di Seremban. Sayangnya tiada gambar ...