Monday, June 16, 2014

Kursus Haji Amali

PERHATIAN

Jika terdapat kesilapan dalam penyampaian urutan amali ini, ia merupakan kelalaianku (Astagfirullah) dan semoga kesilapan itu tidak berlaku semasa aku mengerjakan haji nanti, insya-Allah

Lama dulu, aku sekeluarga pernah mengikuti kursus haji yang dianjurkan oleh Syarikat Andalusia, di Masjid UPM. Kami menghadiri kursus tersebut sebagai persediaan untuk menunaikan Umrah sekeluarga. Alhamdulillah, kami sekeluarga (tanpa Abang kerana dia terpaksa menjalani orientasi wajib di kolej) telah dapat menunaikan Umrah pada tahun 1996. Pada tahun ini, aku dah Abah berpeluang pergi menunaikan Umrah lagi pada bulan Februari yang lepas, dengan mak mertua sekali. 

Dah 2 kali pergi menunaikan Umrah, rasanya cukuplah dahulu. Yang maha penting sekarang ialah menunaikan haji pula. Kalau mati dulu, apa yang nak dijawabkan depan Allah nanti? Takutnya memikirkannya nyawaku diambil tanpa sempat menyelesaikan hutang yang besar itu kepada Allah, kerana giliran aku dapat menunaikan haji sangat lambat, iaitu pada tahun 2049! Masa tu rasanya aku dah hancur dalam tanah agaknya, Allahuakbar.

Dengan itu, sekembalinya dari menunaikan umrah, aku menulis surat rayuan kalau-kalau ada rezekiku dapat menunaikan haji dengan Abah pada tahun ni. Setakat ini, tiada lagi surat daripada pihak Tabung Haji meluluskan permohonanku itu. Apabila aku menelefon pihak Tabung Haji, permohonan aku hanya dalam pertimbangan. Tak apalah, jika Allah menjemputku akan dapatlah aku dan Abah pergi. Jika tidak, belum sampailah masanya aku dan Abah menjadi tetamu Allah menunaikan haji. Walau bagaimanapun, sebagai persediaan jika kami dijemput menjadi tetamu nanti, kami suami isteri menyertai kursus haji anjuran Tabung Haji di Masjid Penjara Kajang, yang diadakan setiap hari Sabtu pagi. 


Setelah beberapa sesi ceramah dan bimbingan haji, maka sampailah puncaknya kami menjalani latihan amali mengerjakan haji. Latihan amali diadakan di Masjid Penjara Kajang sendiri, maka tak perlulah kami peserta kursus pergi ke masjid lain untuk menjalani latihan amali. Replika Kaabah di dirikan di tengah-tengah ruang solat masjid, dan tempat-tempat 'ibadat haji' yang lain di tentukan lokasinya di dalam masjid ...

Replika Kaabah 

Mula-mula ustaz memberikan taklimat ringkas atau rumusan tentang apa yang telah disampaikannya selama ini dan apa yang perlu dilakukan dalam 'ibadat haji' kami di sini ...

Taklimat oleh ustaz

Urutan yang perlu diikuti

Selepas itu, kami semua memulakan amali kami dan menganggap yang kami sebenar-benarnya sedang melakukan ibadah haji, iaitu haji Tamatuk, dibimbing oleh muttawif ...

Dari Madinah kami menuju ke Bir Ali untuk berniat umrah dan menunaikan solat sunat, dan terus ke Mekah. Selepas chcek-in di hotel kami berkumpul di Masjidilharam. Kami tawaf bersama-sama sambil sama-sama berdoa semasa melakukan tawaf umrah ... 

Tawaf umrah

Selesai tawaf, kami menunaikan solat sunat dan minum air zam-zam. Kemudian, kami sama-sama bergerak ke Bukit Safa untuk melaksanakan sai' pula, sambil sama-sama berdoa juga ...     

Sai' bermula di Safa dan berakhir di Marwah

Tidak ada solat sunat sai' (ingatan keras daripada ustaz). Selepas berehat, kami berniat haji dan berihram, dan pergi ke Arafah untuk wukuf. Di Arafah, kami sama-sama berdoa juga dan dinasihatkan supaya banyak melakukan amal ibadah dan berdoa. Kami dinasihatkan untuk melakukan solat jama' Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isya'. Selepas Asar, kami dinasihatkan supaya keluar berdoa di tanah lapang kerana itulah masanya doa paling afdal.

Selepas itu, kami bersiap-siap pula untuk bergerak bermabit di Muzalifah. Di Muzalifah, kami disuruh mengutip batu untuk digunakan semasa melontar nanti. Selepas tengah malam di Muzalifah, kami bolehlah melontar di Jamrat Kubra. Dan, selepas melontar bolehlah kami bergunting, maka lupuslah sebahagian besar larangan ihram. Larangan yang tinggal hanyalah bernikah, menikahkan, tingkah laku awal sebelum berjima' dan berjima'. Mereka yang nak balik ke Mekah bertawaf dibenarkan juga, tetapi dengan urusan dan risiko sendiri.

Melontar selepas mabit di Mudzalifah

Kemudian, kami bergerak ke Mina untuk bermalam selama 3 malam dan melontar di ketiga-tiga jamrat (Sugra, Wusta dan Kubra). Mereka yang yang berulang-alik ke Mekah pun dibenarkan dengan urusan dan risiko sendiri, dengan syarat pada waktu malamnya mesti berada di Mina. Selesai semuanya, kami kembali ke Mekah untuk melakukan tawaf.
Dengan itu, selesailah ibadah haji kami.

Di Mina, melakukan ketiga-tiga lontaran

Sebelum bersurai, ustaz menyampaikan kata-kata akhir dan pesanan kepada para peserta kerana selepas ini ustaz tidak akan berjumpa dengan kami lagi ...

Ustaz Nazri yang membimbing kami dalam kursus

Majlis ditutup oleh ucapan oleh penghulu kami (maaf, tak tahu nama pulak!) ...

Penghulu

Akhir sekali, kami berselawat sambil bersalaman sebelum berpisah. Semoga kami bertemu semula di kursus perdana dan di tanah suci ...

Para muslimin bersalaman dengan ustaz

Para muslimat juga bersalaman sebelum berpisah

Sesungguhnya, semasa melakukan amali ini, aku cuba melakukannya dengan bersungguh-sungguh seperti yang disuruh oleh ustaz, dengan berbekalkan pengalaman semasa melakukan umrah. Ya Allah, terasa seperti aku menunaikan haji betul-betul. Sekurang-kurangnya, jika Allah mencabut nyawaku sebelum aku sempat menunaikan haji aku berharap Allah menerimaku sebagai seorang jemaah kerana hasratku begitu tinggi untuk menunaikan haji ... Allahuakbar

YA ALLAH ... 

Sampaikan hasratku hendak menunaikan haji bersama-sama suamiku
Berikanlah kami kesihatan yang baik
Permudahkanlah urusan kami
Perluaskan rezeki dan ilmu kami
Berikan kami haji yang mabrur
Aamiin Ya Rabb