Monday, February 4, 2013

Kunjungan Kak Yah dan Keluarga

Semalam, 3 Februari 2013, merupakan hari yang tidak ku sangka-sangka dan menggembirakanku. Semasa aku berehat-rehat selepas makan tengah hari, aku mendapat SMS daripada Kak Yah, yang dalam perjalanan ke KL, dari Johor. Aku membalas SMS beliau dengan mengharapkan aku dapat menemuinya. Kak Yah ialah empunya Min Homestay Camp tempatku menginap semasa menjalani rawatan di HUSM Kota Bharu. Beliau selalu datang ke KL tetapi setiap kali beliau datang, kami tidak pernah dapat bersua. Kali ini, kami boleh bertemu pada malamnya. 

Aku bercadang hendak membawa Kak Yah dan keluarga makan malam di luar. Akan tetapi, suami mengatakan elok dijemput Kak Yah datang ke rumah untuk makan; pasti lebih bermakna dan istimewa lagi. Bila aku fikirkan, memang benar. Kami menyediakan hidangan makan malam seadanya ...

Lauk makan malam
Nak mengunyah-ngunyah

Kira-kira pukul 8 malam, Kak Yah dengan suami, Min dan adiknya sekeluarga sampai. Aku sangat gembira menerima kedatangan tetamu ini, dan terus menjamu selera dengan hidangan yang kami sediakan. Sambil makan kami berceloteh juga ...

Harap-harap mereka sukakan hidangan makan malam daripada kami
Aku dan suami melayan
Gambar kenangan selepas makan 

Selepas makan, sempat jugalah Kak Yah melihat-lihat 'kebun' kami walaupun hujan renyai. Dan, dapat juga aku membekalkan buah raja satong untuk Kak Yah tanam di Min Camp, dan juga untuk Dr. Hasanah.

Borak-borak sebelum Kak Yah balik

Selepas puas berborak (memang tak puas pun), Kak Yah dan keluarga terpaksa minta diri untuk balik, sebab pada awal pagi esuknya Kak Yah terpaksa balik ke Kelantan. Semoga kami dapat bersua lagi, dan aku berdoa agar perjalanan beliau dipermudahkan dan selamat sampai ke destinasi, aamiin ....