Wednesday, December 28, 2011

Terima kasih kepada sahabat dan penulis Kanser Payudara

JUST A SHORT ENTRY .....

Semasa perjalanan balik dari Terengganu, Prof. Hasanah hantar SMS berkenaan dengan buku Kanser  Payudara dan Usia Emas. Semua buku yang baru terbit memang aku tak tengok dan pegang lagi. Kalau ikutkan hati tak sabar-sabar nak pegang dan belek buku tu semua, tapi bersabar sajalah. Nanti ada masa yang sesuai pergi ofis dan tengok buku tu semua. Sabar, sabar (urut dada). Prof. Hasanah kata beliau akan mengirimkan satu naskhah buku Kanser Payudara.

Semalam, tiba-tiba dengar bunyi hon motor posmen. Tengok-tengok, buku Kanser Payudara dah samapi. Ya Allah, excitednya tengok. Tambah kulit luarnya gambar penulis sendiri, sahabatku. Lepas rinduku tengok buku dan gambar sahabatku itu. Terima sahabat kerana sudi poskan buku tersebut untuk saya. Amat berharga bagi saya ....

Pada hari ni, dapat pula mesej daripada bos menyatakan buku-buku yang baru terbit tu akan dilancarkan di USM Pulau Pinang, pada 5 Jan 2012, dan bertanya sama ada aku nak pergi ke tidak. Betapa gembiranya hatiku dengan pelawaan tu. Syukur Alhamdulillah. Memang aku berhasrat nak menghadiri pelancaran tu ... nak tengok betapa glamornya buku yang akan dilancarkan; sebahagian daripada ttitik peluhku!!! Selepas ni, aku tak tauh sama ada boleh menyumbang seperti sebelum ni atau tidak ... 

Kalau tak dijemput pun, aku berhasrat nak hadir juga, secara senyap-senyap, dengan syarat abah ada dan  baik hati boleh menghantarku menghadiri majlis itu. Bukan setakat nak lihat pelancaran tu, tapi aku rindu dengan penulis-penulisku yang semuanya dah menjadi sahabatku. Nak berjumpa mereka di KB tak tahu bila lagi. Insyaallah ... aku akan menemui mereka masa pelancaran nanti.

Esuk, pergi Dewan nak tengok buku-buku tu semua ...


Wednesday, December 14, 2011

Buku Oh Buku ... Terharu dan Teruja!

Ahad, 11 Disember 2011, aku sekeluarga balik kampung untuk menjenguk orang tua di kampung, dan ... hehehe ... menyahut seruan durian dan rambutan!!! Sampai di Seremban, singgah di KFC nak belikan ayam KFC permintaan pak mertua. Mesti abah suka hati nanti dapat apa yang dihajatinya. Tak berapa lama kami sampai di kampung, adik ipar sekeluarga pula sampai. Wah, berkenduri kami di kampung. Mak dan pak mertua pun gembira dengan kehadiran kami semua; melihat anak, menantu dan cucu-cucu makan durian dan rambutan. Petang, selepas berehat dan minum petang, kami gerak balik ke KL semula.

Apa yang hendak diceritakan di sini sebenarnya bukan hal yang di kampung, tetapi satu perkara yang amat bermakna buatku. Semasa aku log on Facebook pada malamnya, aku terkedu dengan postings yang sangat istimewa bagiku. Terdapat deretan postings gambar buku-buku bidang perubatan yang baru terbit daripada Prof. Madya Dr. Nik Hazlina! Aku amat terharu dan teruja melihat semuanya ... Kenapa? Sebab itulah hasil usahaku dan pembantuku berulang-alik ke HUSM Kubang Kerian suatu ketika dahulu, untuk memberikan taklimat dan bengkel bimbingan penulisan bagi staf di HUSM, yang majoritinya terdiri daripada doktor, doktor pakar dan pensyarah di sana. 

Terasa satu kepuasan yang tidak terhingga apabila melihat buku-buku yang begitu menarik kulitnya tu (belum tengok dan pegang lagi sebilangan buku tu!), dan isinya memang aku sudah sedia maklum kerana akulah yang 'mencincang' kebanyakan manuskrip awalnya sebelum diuruskan penerbitannya oleh pembantu-pembantuku. Biasanya, apabila kami sebagai editor yang mula-mula sekali menerima buku yang baru terbit tu, rasa nak menjerit-jerit dan meloncat-loncat gembira, kerana segala usaha dan penat lelah menguruskan penerbitannya telah menjadi kenyataan - macamlah buku tu tulisan kami!!! Perasan betul editor ni ye ... akulah tu!!! hahaha ... Macamlah buku tu hasil karyaku sendiri - muka tembok betul si Asiah ye! Sehubungan dengan itu, terlintas di hati nak update blogku dengan memaparkan buku-buku yang telah terbit itu - karya penulis dari HUSM dan Jabatan Perikanan. 

Well, nak tengok buku-buku tu ... nah lihatnya ... cantik persembahan kulitnya dan isinya memang bermanfaat untuk dibaca oleh pembaca awam. Aku amat berpuas hati kerana aku dan rakan-rakan lain telah berjaya memberikan motivasi kepada penulis-penulis berkenaan untuk menulis sehingga karya mereka berjaya diterbitkan. Tahniah kepada sahabat penulisku semua. Sumbangan kalian akan membawa manfaat kepada orang ramai. Semoga ilmu yang disebarkan melalui penulisan ini akan mendapat keberkatan daripada Allah, dan kalian akan terus berkarya. Kami, editor, menumpang kejayaan dan kegembiraan kalian dengan terbitnya buku-buku ini semua, dan masih banyak lagi judul dalam proses urusan penerbitannya. Suzana, Salona dan rakan-rakan editorku yang lain ... ucapan tahniah daripadaku jua kerana kalian telah berjaya menguruskan penerbitan buku-buku tersebut dengan jayanya. Mohon maaf kepada kalian kerana terpaksa meninggalkan beban yang berat yang tidak selayaknya kalian pikul, tetapi ternyata kalian telah berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Usaha kalian yang ikhlas menanganinya dengan pelbagai cabaran itu pasti akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah ... (mod terharu!)

Selain itu, ada juga buku yang terbit dari Jabatan Perikanan, selepas aku dan rakan-rakan editor yang berulang-alik juga di Jabatan Perikanan Pulau Sayak di Kedah dan juga di Terengganu. Masih ingat lagi satu sesi bengkel yang di adakan di Terengganu pada bulan puasa! Aku teruja dan kagum dengan semangat penulis yang sanggup berbengkel pada bulan yang mulia itu, kerana jika diadakan di bulan lain ramai daripada kalangan mereka tidak dapat hadir kerana bertugas di lapangan.

Berikut ialah buku-buku karya penulis dari HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan ... 

  
Karya Prof. Madya Dr. Wan Faisham ini mengupas tentang kecederaan am dan patah anggota secara khusus, yang merangkumi asas rawatan, pemeriksaan dan rawatan khusus untuk merawat patah anggota. Selain itu, dibincangkan asas rawatan dan cara membantu mangsa kemalangan, di samping pertolongan daripada ahli keluarga, yang membantu mangsa untuk segera sembuh. Penerangan yang terperinci tentang masalah dan komplikasi yang dialami oleh pesakit turut diberikan. Penulis mempersembahkan karya beliau dengan gambar foto klinikal dan pembedahan. Penulis ialah seorang pakar bedah ortopedik di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Pengkhususan beliau ialah pembedahan trauma dan menyelamatkan anggota pesakit. Sebelum ini buku beliau berjudul "Kanser Tulang dan Sarkoma Anggota : Rawatan Pembedahan Menyelamatkan Anggota" juga telah diterbitan oleh DBP.

Gambar pada kulit buku ialah gambar penulis
Karya Prof. Madya Dr. Hasanah ini terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama menerangkan pengalaman penulis sendiri dan penghidap yang menangani kanser payudara, disertai fakta tentang diagnosis, prognosis dan rawatan kanser payudara. Bahagian kedua menerangkan keagresifan kanser dan kekuatan yang berbeza penghidap menghadapi penyakit kanser. Bagaimana menangani seksualiti dan seks juga dibincangkan. Penulis ialah seorang pakar psikiatri (sakit jiwa) di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.  Beliau juga ialah penghidap kanser payudara dan suami beliau ialah penghidap kanser kolon. Sungguh terkesan tulisan beliau kerana beliau menulis dari hati dan perasaan sebagai seorang pemandiri kanser payudara.

  
Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini memberikan maklumat tentang persiapan diri untuk menangani kehidupan semasa dan selepas menopaus, yang merangkumi gejala yang akan dialami semasa menghampiri fasa menopaus dan bagaimana terapi penggantian hormon boleh membantu melegakan gejala ini. Dengan maklumat yang diperolehi daripada buku ini, wanita yang mengalami menopaus tidak perlu khuatir tentang menopaus dan anggapan yang menopaus sebagai berakhirnya kenikmatan hidup hendaklah dikikis daripada minda. Prof. Madya Dr. Nik Hazlina ialah pakar sakit puan di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Suami beliau, Prof. Shaiful, pula ialah seorang pakar sakit tuan di tempat yang sama. 

Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini menghuraikan kemusykilan yang sering timbul dan menghantui pasangan yang mengalami masalah infertiliti (kemandulan). Persembahan karya melalui soalan dan jawapan di dalam buku ini memudahkan pembaca untuk memahami persoalan tentang infertiliti.  

Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini memberikan penerangan dan lakaran yang terperinci tentang perawatan masalah infertiliti, dimulai dengan perkara berkenaan dengan kesuburan wanita, pemeriksaan dan prosedur perawatan yang patut dijalankan, secara langkah demi langkah. Alamat hospital dan pusat rawatan yang disenaraikan dalam buku ini memudahkan pasangan untuk memilih rawatan dan tempat rawatan yang bersesuaian.

Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini memberikan penerangan kepada pembaca untuk menghadapi masalah infertiliti dari aspek psikologi. Maklumat yang terkandung di dalam buku amat bermanfaat kepada para doktor, jururawat, pakar embriologi dan kaunselor yang bertanggungjawab dalam pengurusan pasangan yang mengalami masalah infertiliti. Pembaca umum juga boleh memanfaatkan maklumat yang terdapat di dalam buku supaya faham dan tahu akan gelodak jiwa yang ditanggung oleh mereka yang menghadapi masalah ini, dengan itu boleh memberikan bantuan kepada penghidap sebagai kumpulan sokongan.

Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini mengupas tentang salah satu penyumbang kepada masalah infertiliti, iaitu sindrom ovari polisistik, yang menyebabkan kecelaruan haid dalam kalangan wanita. Kefahaman tentang perkara ini boleh membantu semua pihak agar tidak menyalahkan wanita secara mutlak apabila pasangan menghadapi masalah infertiliti.

Karya Prof. Madya Dr. Nik Hazlina dan suami beliau, Prof. Shaiful, ini memberikan maklumat yang dapat memberikan harapan kepada pasangan yang menghadapi masalah infertiliti, bahawa masalah ini boleh diatasi melalui rawatan dan kaedah bantuan reproduktif. Prosedur dan langkah demi langkah dalam rawatan ini, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan rawatan yang hendak dilalui,  diberikan dalam buku ini.


 Karya Dr. Zaharah dan Dr. Tengku Alina ini memberikan maklumat yang terperinci  tentang susu ibu dan kebaikannya, langkah-langkah untuk membolehkan ibu mengamalkannya, panduan penyusuan untuk ibu yang bekerja serta isu-isu khusus yang merangkumi penyusuan anak angkat, penyusuan semasa berpuasa dan kepercayaan tertentu berkaitan penyusuan. Maklumat yang diberikan diharapkan dapat membuka minda pembaca, yang seterusnya membantu para ibu mampu memberikan yang terbaik kepada bayi mereka melalui penyusuan susu ibu. Dr. Zaharah ialah seorang pensyarah dan pakar perunding laktasi di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan; kini sedang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di Australia. Dr. Tengku Alina juga ialah seorang pensyarah di tempat yang sama, dan sekarang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang pemakanan bayi, dengan pengkhususan kepada amalan dan kepercayaan mengenai penyusuan ibu.

Karya Pn. Nazirah dan Dr. Zaharah ini memberikan maklumat yang terperinci dan menyeluruh tentang kebaikan penyusuan ibu, teknik menyusui bayi, cara untuk mengatasi masalah semasa penyusuan, pengalaman ibu yang berjaya menyusui bayi, dan maklumat lain yang dapat membantu para ibu dalam penyusuan ibu. Berikanlah hak susu ibu kepada bayi anda, kerana ia umpama titisan mutiara bonda anugerah Illahi kepada anda dan bayi anda. Pn. Nazirah ialah seorang jururawat yang berpengalaman di tempat yang sama, yang kini bertugas sebagai kaunselor penyusuan ibu, dan pada masa yang sama sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Kejururawatan) di USM Kubang Kerian. Dr. Zaharah ialah seorang pensyarah dan pakar perunding laktasi di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan (seperti yang telah diterangkan di atas).

 Karya Prof. Madya Dr. Aida Anum dan suami beliau, Prof. Madya Dr. Abdul Rahim,  ini merungkai persoalan tentang penggunaan ubat-ubatan dan kesannya terhadap ibu yang hamil. Maklumat yang diberikan merangkumi kesan ubat yang diambil oleh ibu hamil terhadap bayi yang dikandung, pengambilan ubat oleh ibu hamil yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, sawan dan lain-lain, rawatan yang selamat untuk mengurangkan loya, sakit belakang, sembelit dan masalah lain semasa hamil, serta pemakanan tambahan yang perlu diambil ketika hamil. Prof. Madya Dr. Aida Anum ialah seorang pensyarah dan pakar farmakologi di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Suami beliau, Prof. Madya Dr. Abdul Rahim, ialah seorang pakar pedriatik di tempat yang sama.

Karya bersama oleh kumpulan penulis dari HUSM ini memberikan maklumat kepada pembaca supaya faham akan semua aspek kesihatan pada usia emas dan bersedia untuk mengambil langkah-langkah yang dapat meningkatkan tahap kesihatan mereka pada masa hadapan. Dengan itu, usia lanjut dapat diterima dengan penuh kesyukuran sebagai satu anugerah yang amat bernilai, dan bukannya satu keperitan.

Maaf, gambar penulis tak ada pada saya

Karya bersama oleh Dr. Aziah dan rakan-rakan dari HUSM ini memberikan maklumat tentang penyakit bawaaan makanan dan air seperti keracunan makanan, tifoid (demam kepialu), kolera (taun), hepatitis A dan desentri (cirit-birit). Penyakit-penyakit tersebut, jika tidak dirawat, boleh menyebabkan kematian. Mengenali penyakit ini dan langkah-langkah pencegahannya yang diberikan dalam buku ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada pembaca akan bahayanya penyakit bawaan makanan dan air. Kumpulan penulis ini ialah pensyarah di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Maaf, gambar Dr. Harmy tiada pada saya
Karya Dr. Harmy ini memberikan maklumat tentang pengenalan pelbagai jenis rokok dan kesannya terhadap kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular, paru-paru, sistem reproduktif dan seksual. Turut dibincangkan ialah cara-cara seseorang itu boleh berhenti merokok. Dr. Harmy ialah seorang pensyarah dan pakar perubatan keluarga di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga mengendalikan klinik berhenti merokok di tempat yang sama.


Karya Dr. Razana bersama-sama adik beliau, Dr. Rahimah dan suaminya Dr. Zaharuddin, ini memberikan panduan kepada pembaca untuk memahami aspek pencegahan pnyakit secara umum melalui pemeriksaan kesihatan. Ramai yang tidak sedar bahawa saringan atau pemeriksaan awal kesihatan adalah baik untuk pengesanan dan pencegahan awal penyakit. Penekanan diberikan pada pencegahan penyakit lebih awal. Maklumat yang diberikan akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang ujian saringan, khususnya untuk keobesan, penyakit darah tinggi, hiperkolesterolemia, kanser payudara dan kanser serviks. Dr. Razana ialah seorang pakar perubatan keluarga dan pengamal perubatan di Klinik Keluarga di Shah Alam. Dr. Rahimah ialah seorang pensyarah di Jabatan Fisiologu HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, manakala suaminya pula ialah seorang pensyarah di Jabatan Psikiatri di tempat yang sama.


Ramai pengguna komputer tidak menyedari bahawa penggunaan komputer dengan cara yang tidak betul boleh mendatang mudarat terhadap kesihatan. Karya Prof. Madya Dr. Sharifah Mastura ini boleh memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit yang boleh disebabkan oleh penggunaan komputer yang tidak betul. Maklumat yang terdapat dalam buku ini memberikan panduan tentang penggunaan peralatan dan perabot komputer dengan cara yang betul dan sesuai, dan cara senaman untuk menghindari penyakit bawaan komputer, serta mudarat penggunaan komputer dengan cara yang salah. Prof. Madya Dr. Sharifah Mastura  ialah seorang pensyarah di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga bertugas sebagai penyelaras di Unit Informatik Kesihatan di tempat yang sama.

Karya bersama Dr. Ismail dan Dr. Azriani ini menggabungkan unsur-unsur perubatan, sosial dan kerohanian, yang mengupas perubahan fizikal, biologi dan emosi. Perkara ini ditekankan kerana zaman remaja adalah zaman yang penuh dengan godaan. Jika salah kemudi, kehidupan masa depan remaja boleh binasa, dari segi fizikal dan emosi. Dr. Ismail ialah seorang pensyarah perubatan di Jabatan Perubatan Masyarakat HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Dr. Azrianai ialah seorang pensyarah di tempat yang sama; juga menjalankan penyelidikan kesihatan remaja dan aktif memberikan ceramah dan pendidikan kesihatan kepada remaja.
Daripada kesemua buku tersebut, 5 daripadanya telah dilancarkan di HUSM pada hujung tahun lepas. Judul-judul tersebut ialah Menopaus: Menghadapinya Tanpa Kepiluan; Infertiliti: Hala Tuju, Cabaran dan Seribu Pengharapan; 100 persoalan Mengenai Infertiliti; Penyakit Bawaan Makanan dan Air; dan Merokok: Ketagihan yang Harus Dihentikan. Pelancaran terebut telah dilaksanakan dengan meriah bersama-sama termeterainya MoU antara DBP dengan HUSM. Masa pelancaran, aku tak dapat langsung nak berkomunikasi dengan penulis-penulisku kerana suaraku hilang sebab overworked sebelum pelancaran, dan cuaca panas. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Foto-foto pelancaran boleh dicapai dalam profilku di FB. 

Buku-buku yang lain dijangka akan dilancarkan dalam masa yang terdekat. Diharap aku tidak akan ada aral yang menghalangku untuk hadir pada majlis pelancaran itu nanti, yang mungkin diadakan di USM Pulau Pinang atau Putrajaya. Itupun kalau aku dijemput!!! huhu ...

Berikut ialah buku-buku dari Jabatan Perikanan pula ...

Karya En. Mohamad Zaini ini memberikan maklumat tentang arowana, yang merangkumi penternakan, pembiakan, penjagaan, penyakit dan keunikannya. Teks disertai gambar dan gambar foto yang sangat menarik dan berwarna warni, sesuai dengan kecantikan dan keunikan ikan arowana ini. Penulis ialah seorang Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang pembiakan ikan hiasan.

Karya En. Yusri, En. Hamdan dan En. Abdul Rahman ini menyenaraikan spesies ikan laut dan ikan air payau yang terdapat di perairan Malaysia. Senarai yang diberikan merangkumi nama saintifik ikan sebagai rujukan utama, serta nama tempatan dan nama Inggeris bagi setiap ikan. Seterusnya, nama sahih setiap spesies ikan tempatan, yang bertujuan untuk mempiawaikan nama tempatan dengan matlamat satu nama tempatan bagi satu spesies sahaja diberikan. Ketiga-tiga penulis ini ialah pegawai penyelidik yang berpengalaman di Jabatan Perikanan.

Karya En. Ahmad Ali ini memberikan maklumat tentang ikan yu, yang boleh memberikan kesedaran kepada pembaca bahawa ikan yu bukannya spesies ikan yang ganas, seperti yang ditanggap oleh ramai orang. Buku ini menarik dibaca kerana penulis memberikan pelbagai spesies ikan yu, disertai gambar spesies-spesies tersebut. Penulis ialah seorang pegawai penyelidik yang pakar dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan yu. Beliau bertugas di SEAFDEC, Kuala Terengganu (maaf jika  tersilap maklumat tempat bertugas).

Karya En. Zaid ini memberikan banyak maklumat tentang gamat yang terdapat di perairan Malaysia dan kegunaan gamat-gamat tersebut. Persembahan buku ini disertai gambar, terutamanya pada bahagian spesies gamat. Nama saintifik gamat dan nama tempatan juga diberikan. Penulis ialah seorang pegawai penyelidik di Jabatan Perikanan di Pulau Sayak, Kedah.

Baru-baru ini, buku Arowana telah dilancarkan di Sarawak (Aku tidak dijemput, dan memang tak boleh pergi pun jika dijemput ... huhu). Buku Ikan Laut Malaysia yang diuruskan oleh rakan editor telah dilancarkan di Putrajaya pada tahun lepas, berserta dengan soft launch buku Gamat dan Ikan Yu yang belum terbit pada masa tu. Sempena dengan majlis pelancaran itu, satu MoU juga telah dimeterai antara Jabatan Perikanan dengan DBP. Sedikit gambar majlis pelancaran tersebut terdapat dalam profilku di FB.

Alhamdulillah, berkat usaha gigih penulis dan editor bertugas maka terbitlah buku-buku tersebut. Kami, sebagai editor buku-buku tersebut, amat berbangga dengan kegigihan dan ketabahan penulis untuk menghasilkan karya mereka. Sebenarnya, kerjasama dan hubungan baik editor dengan penulis banyak membantu kejayaan buku-buku tersebut diterbitkan. Sesungguhnya, dengan komitmen yang tinggi sahaja usaha begini dapat dijayakan. Saya, secara peribadi, amat kagum dengan kegigihan penulis menghasilkan karya masing-masing; dalam kekalutan penulis dengan tugasan hakiki masing-masing tetapi masih dapat mencuri masa untuk menulis sehingga tulisan itu dapat direalisasikan dalam bentuk buku begini. Semoga dengan terbitnya judul-judul yang telah diusahakan itu, maka bertambah tinggi semangat kalian untuk terus menulis sehingga menjadi penulis yang profilik.

Sesungguhnya, ilmu yang disebarkan melalui penulisan ini insyaalah dapat dimanfaatkan oleh pembaca dan dapat membuka minda pembaca, khususnya pembaca umum. Saya secara peribadi amat gembira dan terharu kerana telah dapat membantu penulis mencapai hasrat untuk menulis dan seterusnya diterbitkan, melalui taklimat yang telah diberikan dan bengkel susulan untuk memurnikan penulisan awal. Saya tidak pasti akan dapat bersama-sama kalian lagi selepas ini ... huhu ... 

Friday, December 9, 2011

Mimpi yang Bermakna

Malam tadi, aku agak sukar nak melelapkan mata. Pusing kiri, pusing kanan, telentang ... eh susah pulak mata nak pejam - boleh pejam tapi tak lena! hehehe...

Tiba-tiba ...

Aku berada di kampung, memakai pakaian prefect sekolah. Kenapa aku pakai pakaian murid sekolah itu dalam usiaku yang begini? Dahlah memakai pakaian begitu, terlalu longgar pulak tu. Bak kata orang Nogoriku ... pakaian yang goboboih!! Aku berpakaian begitu kerana aku berhasrat untuk melihat reaksi orang sekeliling yang melihat aku 'yang tidak waras' begitu. Memang dari dulu aku memang suka melihat dan memahami telatah orang. Bukan apa, untuk mengambil iktibar dan mendidik diri sendiri.

Aku berjalan di jalan utama di kampung sambil melirik pandangan dan jelingan orang terhadap aku 'yang tidak waras' tu. Memang kebanyakan memandangku dengan pandangan yang pelik/jelik terhadapku. Mungkin dalam hati mereka ... "Ah, tak betul orang ni".

Sampai di sebuah kedai buah, aku memegang buah yang ada, dan tuan kedai tersenyum dan memberikan buah tu kepadaku. Di situ juga terdapat beberapa orang murid sekolah ... Mereka mentertawakan dan mempersendakan aku, dan aku tak ambil pusing. 

Aku meneruskan perjalanan, dan sampai di hadapan sebuah rumah orang kaya. Kebetulan tuan rumah keluar pagar dengan membawa sesuatu yang berharga (tak ingat apa dia). Aku mengambil barang itu, dengan menganggap orang itu akan memarahi dan menghalauku. Tetapi, orang itu tersenyum memberikan barang itu kepadaku. Aku mengambil dan membelek-beleknya, sambil menunggu reaksi orang tu. Orang tu memerhatikan sahaja dengan tersenyum. Akhirnya, aku mengembalikan barang itu kepada orang itu. Orang itu mengambilnya dengan tersenyum tanpa berkata apa-apa. Aku pun meneruskan perjalanan, dengan orang sekeliling memandangku dengan pandangan mengejek dan jelingan yang tidak bagus. 

Seterusnyanya ... aku tersedar!!! Rupa-rupanya aku bermimpi ...

Pada pagi ni, aku terbayang dengan jelas mimpiku malam tadi. Aku termenung memikirkannya, kerana selalunya apabila bermimpi aku akan lupa mimpiku kecuali jika ada sesuatu mesej daripada mimpi tu. Aku sendiri pelik kenapa aku bermimpi begitu ...

Apa yang aku fikirkan ialah itulah agaknya apa yang dilalui oleh orang yang tidak waras berada di jalanan tu. Ada orang yang memandang jelik, mempersendakan atau menghalau orang yang tidak waras tu. Tidak kurang juga orang yang berhati mulia, yang masih ada hati dan perasaan menghormati orang sebegitu yang telah ditakdirkan Allah sebegitu. Kesimpulanku, moral mimpiku ialah sebenarnya setiap kita yang wujud di dunia ini ada haknya sendiri yang telah ditetapkan oleh Allah, tetapi ada sebilangan manusia yang menafikan hak itu atas kesombongan atau ego dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri ... jadi tak sedar diri dan lupa dengan kebesaran Allah ... wallahualam, itu pandang peribadiku.

Apabila aku renungkan lagi, aku bersyukur kerana Allah telah memberiku peluang merasai kehidupan orang yang tidak waras di jalanan itu melalui mimpi ... Alhamdulillah.